Wednesday, July 31, 2013

Monday, February 7, 2011

BERUBAT DENGAN BENDA YANG NAJIS

BERUBAT DENGAN BENDA YANG NAJIS

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Sakit adalah suatu perkara yang biasa menimpa manusia. Adakalanya sakit itu menimpa manusia dalam bentuk fizikal dan ada juga kalanya dalam bentuk spiritual. Dalam semua keadaan tersebut, orang sakit biasanya akan berusaha mencari ubat untuk menghilangkan sakit itu.

HUKUM BERUBAT

Berubat untuk menghilangkan penyakit itu adalah perkara yang digalakkan pada hukum syara‘. Bahkan ia boleh menjadi ibadah jika dilakukan dengan niat yang baik, seperti bertujuan untuk melaksanakan tuntutan syara’ dan bagi memulihkan kesihatan tubuh badan agar dapat beribadat dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan lebih sempurna.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah berubat dan menyuruh umatnya berubat. Sebagaimana dalam sebuah hadis, daripada Usamah bin Syuraik menjelaskan bahawa segolongan orang Arab pernah bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kata mereka:
"Wahai Rasulullah adakah kami boleh berubat? Baginda menjawab: "Berubatlah kamu, kerana Allah ‘azza wajalla tidak menjadikan penyakit melainkan Dia menjadikan ubatnya, melainkan satu jenis penyakit, iaitu sakit tua." (Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam hadis yang lain pula, daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: "Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penyembuh." (Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Baginda lagi Maksudnya: "Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, maka apabila ubat serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah ‘azza wajalla." (Hadis riwayat Muslim)

Sebagaimana yang dijelaskan di atas, bahawa perbuatan berubat itu ternyata digalakkan dalam Islam. Namun begitu, persoalan yang timbul bagaimanakah cara berubat yang dibenarkan oleh hukum syara‘?

CARA BERUBAT

Pada dasarnya ubat atau penawar yang dianjurkan untuk dipakai mestilah ubat-ubatan yang halal, suci, bukan yang diharamkan dan dapat diterima oleh naluri pesakit.

Berubat dengan benda yang haram itu tidak dibenarkan, bahkan ia diharamkan kecuali dalam keadaan darurat. Ini jelas bersandarkan daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ad-Darda’ bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: "Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu, dan jangan kamu berubat dengan yang diharamkan." (Hadis riwayat Abu Daud)

Imam Bukhari pula ada menyebutkan dalam shahihnya daripada Ibnu Mas‘ud katanya:
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar (kesembuhan) kamu pada benda-benda yang diharamkan ke atas kamu." (Dikeluarkan oleh Bukhari)

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada ubat yang kotor." (Hadis riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

Berdasarkan hadis-hadis ini, jika penyakit seseorang itu masih dalam peringkat biasa yang tidak membahayakan, maka sesetengah ulama berkata bahawa adalah tidak harus yakni haram berubat dengan benda-benda najis itu.

HIKMAT PENGHARAMANNYA

Ibnu al-Qayyim Rahimahullah ada menerangkan lebih jelas lagi rahsia ini, bahawa larangan tidak dibenarkan benda-benda yang diharamkan sebagai ubat penawar penyakit itu ialah, kerana antara syarat boleh mendapat kesembuhan menerusi sesuatu ubat itu ialah jika terdapat sikap meneri Adapun sudut rahsia atau hikmat ia diharamkan, mengikut para ulama Islam; najis itu menjijikkan dan tidak disukai oleh akal dan naluri. Jadi ia tidak layak dipakai atau dijadikan untuk penawar penyakit.

ma (suka) kepada ubat berkenaan, dan ada keyakinan terhadap khasiat (manfaatnya), di samping percaya, padanya ada keberkatan yang dijadikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Kemudian bagi seorang Islam pula, yang haram itu memanglah kotor, najis dan menjijikkan. Setiap yang kotor dan menjijikkan, ia tidak diterima bahkan ditolak oleh naluri yang sihat.
Demikian itulah kedudukan najis yang diharamkan, mengapa ia tidak sesuai untuk dijadikan ubat, kerana syarat untuk ianya dapat diterima oleh naluri yang sihat tidak ada lagi. Inilah antara rahsia atau sebab mengapa berubat dengan yang haram itu dilarang. (At-Tibb an-Nabawi: 126)

Demikian antara pendapat ulama mazhab lain di luar mazhab Syafi’e.

BERUBAT DENGAN BENDA-BENDA NAJIS

Tidak dinafikan, ada juga antara penyakit itu yang sukar ditemui ubatnya. Sebahagiannya pula boleh disembuhkan dengan menggunakan ubat-ubatan daripada benda-benda najis iaitu berdasarkan pengalaman orang-orang terdahulu.

Oleh kerana itu, menurut pendapat yang ashah dalam mazhab Syafi‘e, adalah harus berubat dengan segala benda najis, kecuali yang memabukkan, dengan alasan bahawa berubat itu adalah merupakan perkara darurat. Sedangkan darurat itu mengharuskan kita mengambil apa yang ditegah, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:Tafsirnya: "Dan sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kamu satu persatu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali yang terpaksa kamu memakannya." (Surah Al-An‘am: 119)

Berdasarkan ayat tersebut dan ayat-ayat seumpamanya, maka para ulama telah menggariskan kaedah: Ertinya: "Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang."

Walau bagaimanapun, penggunaan najis sebagai ubat itu masih juga terikat dengan tidak melampaui batas, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: "Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ma’idah: 3)

FirmanNya lagi:
Tafsirnya: "Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Baqarah: 173)

Imam an-Nawawi Rahimahullah juga berpendapat bahawa harus berubat dengan najis selain arak. Hukum keharusan berubat itu sama sahaja bagi semua najis melainkan yang memabukkan. Ini berdasarkan daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: "Bahawa serombongan suku ‘Ukal seramai lapan orang datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu mereka berikrar kepada Nabi untuk masuk Islam. Kemudian cuaca kota Madinah merimaskan mereka dan mengakibatkan tubuh badan mereka sakit-sakit, lalu mereka mengadukan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda bersabda kepada mereka: "Barangkali elok kamu pergi bersama tukang gembala kami kepada untanya, kemudian kamu dapatkan air kencing dan susunya." Mereka menjawab: "Baiklah." Mereka pun pergi dan meminum susu dan kencing unta itu, setelah itu mereka pun sihat. Tetapi kemudian mereka membunuh tukang gembala Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu dan merampas unta-untanya." (Hadis riwayat Bukhari)

Walau bagaimanapun, Imam an-Nawawi ada menyebutkan lagi daripada pendapat lain. Bahawa keharusan berubat dengan najis itu hanyalah dibolehkan apabila tidak ditemui ubat yang suci yang boleh menggantikannya. Jika ada ubat yang suci, maka haramlah berubat dengan najis tersebut.

Sebagaimana Al-‘Izz bin Abdussalam Rahimahullah berkata:
Ertinya: "Harus berubat dengan najis apabila tidak ada ubat yang suci yang boleh menggantikannya, kerana maslahat kesihatan dan kesejahteraan itu lebih sempurna berbanding dengan maslahat menjauhi najis. Dan tidak harus berubat dengan arak mengikut pendapat yang ashah."

Oleh yang demikian, berdasarkan daripada penjelasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa berubat untuk menyembuhkan penyakit itu adalah perkara yang digalakkan dalam Islam. Ubat-ubatan yang digunakan hendaklah daripada benda-benda yang halal dan suci. Di samping itu, harus berubat dengan benda-benda yang najis selain sesuatu yang memabukkan jika tidak ada ubat lain yang suci sebagai penggantinya.
keluaran Mufti kerajaan Brunei Darussalam

Saturday, December 4, 2010

MUHARRAM

HARI ‘ASYURA’:
BERPUASALAH SEHARI SEBELUM DAN SELEPASNYA

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bulan Muharram merupakan bulan yang pertama dalam kalendar tahun Hijrah. Maka satu (1) Muharram atau awal Muharram adalah lebih dikenali juga dengan sebutan awal tahun baru Hijrah.

Keutamaan bulan Muharram ialah kerana ia termasuk antara bulanbulan haram yang mempunyai banyak kelebihan. Bulan-bulan haram itu terdiri daripada bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Bulan-bulan haram merupakan waktu yang sangat afdhal untuk mengerjakan dan memperbanyakkan ibadah puasa selain bulan Ramadhan.

Di antara empat bulan haram tersebut, yang lebih afdhal untuk melakukan puasa ialah pada bulan Muharram. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Puasa yang afdhal sekali selepas puasa di bulan Ramadhan ialah (puasa) di bulan Allah iaitu bulan Muharram.” (Hadis riwayat Muslim)

Amalan Berpuasa Di Bulan Muharram

Dalam bulan Muharram, selain daripada hari yang kesepuluh yang sudah dikenali dan diketahui ramai dengan panggilan hari ‘Asyura’, terdapat juga beberapa hari lain yang disunatkan untuk berpuasa. Hari-hari yang dimaksudkan ialah hari kesembilan
(Tasu‘a’) dan hari kesebelas.

Bahkan Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah dalam Kitab al-Umm dan al-Imla’ menyatakan bahawa digalakkan untuk berpuasa pada ketiga-tiga hari tersebut.

Selain daripada tiga hari yang telah disebutkan di atas, adalah sangat digalakkan juga untuk berpuasa pada sepuluh hari terawal di bulan Muharram. Bahkan sepanjang bulan Muharram, berdasarkan hadis di atas.

Tuntutan Berpuasa Hari ‘Asyura’, Sebelum Dan Selepasnya

Tuntutan untuk berpuasa pada sembilan, sepuluh dan sebelas Muharram itu adalah berdasarkan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam antaranya:

Puasa Hari Tasu‘a’

Berpuasa pada hari kesembilan bulan Muharram adalah berdasarkan hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia berkata:

Maksudnya: “Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan Baginda memerintahkan (para sahabat Baginda) untuk melakukan puasa pada hari itu, mereka berkata: “Wahai Rasulullah! (Bukankah) sesungguhnya hari
‘Asyura‘ itu hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani?”

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila pada tahun yang akan datang, insya Allah kita akan berpuasa pada hari yang kesembilan”.

Berkata (‘Abdullah bin ‘Abbas): “Belum sempat menjelang tahun hadapan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun wafat.” (Hadis riwayat Muslim)

Adapun antara hikmat berpuasa pada hari ‘Asyura’ itu bersamasama dengan hari Tasu‘a’ (hari kesembilan daripada bulan Muharram) itu agar tidak menyerupai dengan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Asyura’ sahaja. Ini jelas sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Berpuasalah kamu pada hari kesembilan dan kesepuluh Muharram dan jangan meniru (menyerupai) cara orang-orang Yahudi.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Puasa Hari ‘Asyura’

Manakala puasa hari ‘Asyura’, iaitu pada hari kesepuluh Muharram, merupakan sunat yang sangat dituntut (mu’akkadah) untuk dikerjakan.

Puasa hari ‘Asyura’ lebih dikenali oleh masyarakat umum berbanding puasa hari ke sembilan dan kesebelas Muharram. Adapun tuntutan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura’ telah disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Mu‘awiyah bin Abi Sufyan Radhiallahu ‘anhuma bahawa dia mendengar Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


Maksudnya: “Ini adalah hari ‘Asyura’ dan Allah tidak mewajibkan kepada kamu mengerjakan puasa padanya. Namun demikian aku berpuasa pada hari ini. Maka barangsiapa yang menghendaki (untuk berpuasa), bolehlah dia berpuasa dan
barangsiapa yang menghendaki untuk berbuka yakni tidak berpuasa, maka boleh sajalah dia berbuka.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sungguhpun berpuasa pada hari ‘Asyura’ itu hanya merupakan puasa sunat, akan tetapi terdapat banyak hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebutkan keutamaan dan fadhilat berpuasa pada hari ‘Asyura’. Oleh itu jangan dipandang
ringan atau disia-siakan. Antara hadis-hadis itu:

1. Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma menceritakan dalam sebuah hadis, katanya:

Maksudnya: “Aku (Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma) tidak pernah melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bermaksud untuk mengerjakan puasa pada suatu hari yang Baginda lebih mengutamakannya daripada hari-hari yang lain, kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura’ dan berpuasa dalam bulan ini, yakni bulan Ramadhan”. (Hadis riwayat al-Bukhari)


2. Manakala dalam hadis yang lain pula daripada Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Puasa hari ‘Asyura’ bahawasanya aku mengharapkan daripada Allah moga mengampunkan dosadosaku pada tahun yang sebelumnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Puasa Hari Kesebelas Muharram.

Terdapat satu riwayat yang menganjurkan supaya kita berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas hari ‘Asyura’. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura’ dan janganlah menyerupai orang Yahudi dalam perkara ‘Asyura’. (Oleh itu) berpuasalah kamu sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Walau bagaimanapun menurut pendapat ulama, disunatkan berpuasa pada hari ke sebelas Muharram; samada dia telah berpuasa ataupun tidak pada hari kesembilan Muharram.

Bagaimana Jika ‘Asyura’ Itu Jatuh Pada Hari-Hari Yang Makruh Berpuasa?

Adapun hari-hari yang dimaksudkan makruh berpuasa itu ialah hari Jumaat atau Sabtu atau Ahad semata-mata. Pada dasarnya hukum berpuasa pada hari Jumaat sahaja tanpa digandingkan dengan berpuasa sehari sebelumnya (hari Khamis) atau sehari selepasnya (hari Sabtu) adalah makruh. Perkara ini adalah berdasarkan tegahan atau larangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Jangan (sekali-kali) salah seorang daripada kamu berpuasa pada hari Jumaat melainkan (dia berpuasa) sehari sebelumnya atau (sehari) selepasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Begitu juga makruh hukumnya berpuasa pada hari Sabtu sahaja atau pada hari Ahad sahaja tanpa ada sebab lain yang dianjurkan untuk berpuasa. Ini kerana hari Sabtu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi, sementara hari Ahad pula adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Nasrani.

Walau bagaimanapun jika digandingkan atau digabungkan hari yang dimakruhkan berpuasa tadi dengan hari yang lain; umpamanya Jumaat dengan Sabtu atau Sabtu dengan Ahad, maka tidak dihukumkan makruh. Begitu juga halnya gabungan atau gandingan Jumaat dengan Khamis atau Ahad dengan Isnin.

Namun tidak makruh hukumnya berpuasa pada hari Jumaat atau Sabtu atau Ahad semata-mata jika puasa tersebut ada sebab lain yang dianjurkan. Misalnya pada hari-hari tersebut (Jumaat, Sabtu atau Ahad) bertepatan dengan puasa hari ‘Arafah dan puasa hari ‘Asyura’ atau hari tersebut bertepatan dengan kebiasaan seseorang itu melakukan puasa yang diamalkan oleh Nabi Daud ‘Alaihissalam, iaitu berpuasa sehari dan berbuka sehari ataupun dia melakukan puasa pada hari tersebut kerana puasa qadha atau nazar.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat untuk mendirikan sembahyang (malam) daripada malam-malam yang lain, dan jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat untuk berpuasa daripada hari-hari yang lain kecuali puasa yang (kebetulan bertepatan) seorang di antara kamu berpuasa (pada hari itu).” (Hadis riwayat Muslim)

Maka jika kita lihat kembali antara tujuan mengapa digandingkan atau digabungkan hari ‘Asyura’ dengan Tasu‘a’ itu antaranya ialah untuk membezakan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Asyura’. Juga sebagai langkah berhati-hati; umpamanya jika ‘Asyura’ itu jatuh pada hari Jumaat. Oleh itu untuk menghindarkan seseorang itu daripada berpuasa hanya pada 10 Muharram itu (hari Jumaat) semata-mata, maka digandingkan atau digabungkan puasa ‘Asyura’ itu dengan hari lain, iaitu hari ke sembilan (Tasu‘a’) atau sehari selepas ‘Asyura’ .

Walau bagaimanapun ini bukan bermakna jika hari ‘Asyura’ itu jatuh pada hari Jumaat, maka barulah disunatkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya (hari kesembilan) atau hari selepasnya (hari kesebelas). Bahkan jika ‘Asyura’ itu jatuh pada hari selain hari Jumaat, maka tetap juga disunatkan untuk berpuasa pada hari kesembilan dan kesebelas Muharram.

Sebagai kesimpulan, selain bulan Ramadhan, bulan Muharram merupakan antara bulan yang paling afdhal untuk melakukan dan memperbanyakkan puasa. Di samping hari ‘Asyura’ (10 Muharram) yang sudah diketahui dan dimaklumi sebagai hari yang disunatkan berpuasa padanya, terdapat juga dalil-dalil yang menggalakkan untuk berpuasa pada hari Tasu‘a’ (9 Muharram) dan hari ke sebelas Muharram. Bahkan digalakkan juga untuk berpuasa pada sepuluh hari awal bulan Muharram dan di sepanjang bulanMuharram. sumber rujukan mufti Brunei

Tuesday, January 26, 2010

SAFAR BUKAN BULAN BALA DAN KHURAFAT

Kini kita berada dalam bulan Safar. Bulan kedua dalam taqwim Islam yang diperkenalkan oleh Saidina Umar RA. Dinamakan Safar kerana orang-orang lelaki Arab keluar rumah untuk berdagang, menggembara dan menjalankan kegiatan ekonomi di luat tempat tinggal. Rumah-rumah menjadi kosong dan dipenuhi kaum perempuan dan kanak-kanak.
Sejarah juga mencatatkan bahawa beberapa peperangan berlaku dalam bulan ini iaitu peperangan Al Abwa dalam tahun dua hijrah, perang Bani Qainuqak dan Zi Amin pada tahun ketiga hijrah dan Peperangan Khaibar pada tahun keempat hijrah.

Demikian fakta sejarah, namun hakikatnya dalam masyarakat kita hari ini, bulan Safar dikaitkan dengan bala bencana dan musibah hingga menerbitkan beberapa amalan khurafaat dan tahyul dengan harapan dapat menangkis dan menolak musibah tersebut.

Amalan-amalan khurafat bulan safar seperti mandi safar, membuat ancak, melarang mengadakan kenduri kahwin dan percaya adanya burung hantu sebagai tanda kematian masih berurat nadi dalam kehidupan masakini. Amalan, fahaman dan kepercayaan seperti ini bukan sahaja bercanggah dengan syariat Islam tetapi juga boleh menyebabkan rosaknya akidah.

Nahas dan bala bencana bukan hanya berlaku dalam bulan Safar. Kepercayaan seperti ini perlu ditolak kerana Allah Taala telah memberi amaran kesan dalam surah At Taubah ayat 51 yang bermaksud:
”Katakanlah (Wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawaqal”

Menurut Garis Panduan Khurafat dan Azimat yang dikeluarkan oleh JAKIM, Khurafat bermaksud cerita atau perbuatan yang direka dan bersifat karut,dusta dan menyimpang dari ajaran Islam.
Ia masih berlaku dalam masyarakat kerana faktor sejarah dan kerapuhan iman.Sejarah telah menulis bahawa agama Hindu telah lebih dahulu bertapak di negara ini berbanding Islam. Ini menyebabkan kepercayaan kepada kubur keramat, pokok besar, azimat, tangkal dan makhluk halus terus bertapak dalam masyarakat..Pada zaman jahiliyah, orang arab akan merujuk kepada tukang tilik tentang masa depan mereka..

Syed Muhamad Qutb dalam bukunya Jahiliyyah Qarnil Isyrin menyatakan bahawa ia masih berlaku dalam zaman mencabar yang dipenuhi ICT dan serba canggih ini.Berpindah rumah hanya boleh pada hari Rabu, memulakan kerja perlu pada hari Selasa atau Sabtu, meramal nasib dengan memuja keramat adalah beberapa contoh jahiliyah moden yang masih wujud dewasa ini.Percaya kepada pokok, kubur, telaga yang mempunyai kuasa selain Allah boleh membawa syirik dan bertentangan kepada kepercayaan tauhid kepada Allah. Percaya kepada sial, majal, memuja jin dengan meminta pertolongan darinya seperti dilakukan sesetengah bomoh dan dukun dengan amalan menurun adalah syirik dan menyesatkan. Mereka yang bersahabat dan menggunakan jin seperti tukang sihir dan tilik nasib adalah tergolong di kalangan orang yang bodoh dan menzalimi diri sendiri sebagaimana ditegaskan Allah dalam Surah Yunus ayat 106 yang bermaksud:

”Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah yang tidak mendatangkan manafaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim(terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)”
Terdapat sebahagian umat Islam yang masih percaya bahawa Hari Rabu terakhir bulan Safar merupakan hari turunnya ribuan bala yang menimpa umat. Oleh itu mereka dilarang keluar rumah dan melakukan aktiviti sosial harian kerana ditakuti akan ditimpa musibah. Malah anak-anak pula diminta mandi air tolak bala atau mandi di pantai yang lebih dikenali sebagai Mandi Safar.Sesunguihnya ia adalah kepercayaan karut dan bertentangan dari ajaran Islam.Malah perbuatan pesta mandi laut telah mengundang kepada dosa lain seperti wujudnya pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa batas.

Wujud juga ibubapa yang tidak mahu mengadakan kenduri perkahwinan pada bulan ini kerana ditakuti pasangan akan menjadi tidak bahagia atau tidak mendapat zuriat. Kepercayaan seperti ini boleh menjadi syirik kerana kita lebih mempercayai bulan dan bukan kuasa Allah.Sebenarnya nahas dan bala bencana tidak hanya berlaku dalam bulan Safar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

”Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena(baik atau buruk) melalui burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis”

Hadis riwayat Bukhari)Sesungguhnya mempercayai perkara yang disebutkan menjadikan umat Islam semakin mundur, malas berusaha dan hanya berserah kepada takdir. Di kala umat lain berlumba-lumba meneroka ilmu dan mencapai kejayaan, umat Islam seolah-olah berundur dan tertinggal ke belakang.Kita menjadi tidak produktif kerana tidak dibenarkan keluar rumah pada hari Rabu terakhir bulan Safar. Kesemua kegiatan ekonomi terbantut. Minda kita menjadi jumud dan tidak berkembang kerana mempercayai fahaman karut tersebut.

Malah dalam kontek hubungan kita dengan Allah Taala, kita telah melakukan satu dosa besar tanpa disedari iaitu syirik. Ingatlah peringatan Rasululullah SAW tentang tujuh perkara yang membinasakan yang perlu dijauhi di mana syirik merupakan perkara yang terletak di nombor satu.Amalan penggunaan azimat, tangkal sebagai pelindung diri seperti kebal, ilmu pengasih, ilmu pelembut hati yang dicampuradukkan dengan sihir juga adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

”Dari Ibn Mas’ud:rasulullah SAW bersabda:Sesungguhnya jampi mentera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik”

Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)Sungguhpun jampi mentera diharuskan sebagaimana diceritakan oleh para sahabat yang bertanya kepada Rasulullah, Syeikh Yusof Qardawui telah menggariskan tiga syarat seperti yang terdapat dalam bukunya Fatawa Al Muasirah1) Ia mesti didasarkan kepada Allah SWT dan nama-namaNya2) Ia mestilah dituturkan dalam bahasa Arab dan kata-kata yang boleh difahami maksudnya3) Beriktikad bahawa ianya tidak memberi kesan dengan sendirinya tetapi dengan takdir Allah SWTAqidah murni menjadi sendi dalam masyarakat, tauhid menjadi paksi dan rohnya.

Oleh itu, agenda memperkukuh akidah merupakan tugas setiap individu. Ilmu agama yang cetek perlu didalami kerana ia merupakan benteng paling berkesan dari terjebak ke lembah khurafat dan syirik.Cari maklumat, rujuk guru dan kitab. muktabar agar ia menjadi pendinding dari amalan yang sia-sia dan dilaknati Allah.

Wallahu A’alam

Nordin bin Bayadi
Unit Penerangan dan Penerbitan
Bahagian Dakwah, JAIS

Wednesday, December 9, 2009

MEMOTONG KUKU : FITRAH RASULULLAH SHALLALLAHU 'ALAIHI WASALLA


Menurut Kamus Dewan, kuku ialah selaput atau bahagian keras yang tumbuh pada hujung jari manusia, benda keras yang menganjur yang tumbuh pada hujung kaki binatang (ada yang besar dan ada yang panjang dan tajam).


Kuku yang diciptakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala mempunyai peranan dan kepentingannya yang tersendiri kepada manusia. Dalam hukum Islam, kuku berperanan dalam beberapa perkara hukum yang tidak seharusnya diabaikan oleh umat Islam. Walaupun ia dilihat hanya seolah-olah perkara kecil, namun kadang-kadang ia adalah perkara besar, sebagai contoh ketika seorang yang masih dalam ihram haji atau umrah didenda membayar dam kerana memotong kukunya. Demikian juga kuku boleh menyebabkan tidak sah wudhu atau mandi junub, jika air tidak atau terhalang sampai ke kuku.


Beberapa permasalahan yang berhubungkait dengan kuku dari segi hukum, hikmat memotong kuku, memanjangkan dan mewarnanya akan dibincangkan dalam Irsyad Hukum kali ini.

1. Hukum Dan Hikmat Memotong Kuku

Memotong kuku adalah termasuk dalam amalan sunat. Sebagaimana disebutkan dalam hadis dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya:


“Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah): memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria: “berkata Mus‘ab: “Aku lupa yang kesepuluh kecuali berkumur.” (Hadis riwayat Muslim)

Memotong kuku adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku tangan atau kaki. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku ialah menghilangkan segala kotoran yang melekat atau berkumpul di celah kuku, yang mana kotoran tersebut boleh menghalang sampainya air ketika bersuci.

Selain daripada itu, jika kuku itu pula dibiarkan panjang dan segala kotoran atau najis melekat di dalamnya, nescaya ia boleh menjejaskan kesihatan.

2. Cara Dan Benda Untuk Memotong Kuku

Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan kemudian tangan kiri, memotong kuku kaki kanan kemudian kaki kiri.

Menurut Imam an-Nawawi, sunat memotong kuku bermula jari tangan kanan keseluruhannya daripada jari telunjuk sehinggalah jari kelingking dan diikuti ibu jari, kemudian tangan kiri daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari.

Sementara kuku kaki pula, bermula kaki kanan daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari kemudian kaki kiri daripada ibu jari sehinggalah kelingking.

Harus seseorang itu memotong kukunya dengan menggunakan gunting, pisau atau benda yang khas yang tidak menyebabkan mudharat pada kuku atau jari sepertimana yang dikenali sebagai alat pemotong kuku.

Setelah selesai memotong kuku, sayugia segera membasuh tangan (tempat kuku yang telah dipotong) dengan air. Ini kerana jika seseorang itu menggaru pada anggota lain, ditakuti akan menghidap penyakit kusta.

Menurut kitab al-Fatawa al-Hindiyah dalam mazhab Hanafi bahawa makruh memotong kuku dengan menggunakan gigi kerana ia boleh mewarisi penyakit kusta.

3. Waktu Memotong Kuku

Dalam perkara memotong kuku, waktu juga diambil kira dan diambil perhatian dalam Islam. Adapun waktu memotong kuku itu tertakluklah pada panjang kuku tersebut. Bila-bila masa sahaja diharuskan memotong kuku apabila seseorang itu berkehendak pada memotongnya. Akan tetapi janganlah membiarkan kuku tersebut tidak dipotong sehingga melebihi empat puluh hari. Sebagaimana diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang maksudnya :


“Telah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada empat puluh malam.” (Hadis riwayat Muslim)

Adapun menurut Imam asy-Syafi‘e dan ulama-ulama asy-Syafi‘eyah, sunat memotong kuku itu sebelum mengerjakan sembahyang Juma‘at, sebagaimana disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum pergi ke masjid untuk mengerjakan sembahyang Juma‘at.

Diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri dan Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhuma berkata yang maksudnya :


Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesiapa yang mandi pada hari Juma‘at, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik kemudian keluar rumah sehingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi (menerobos masuk) orang-orang yang telah bersaf, kemudian dia mengerjakan sembahyang apa sahaja (sembahyang sunat), dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata-kata sehingga selesai mengerjakan sembahyang, maka jadilah penebus dosa di antara Juma‘at itu dan Juma‘at sebelumnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Daripada Abu Hurairah katanya yang maksudnya :
“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam memotong kuku dan mengunting misai pada hari Juma‘at sebelum Baginda keluar untuk bersembahyang.” (Riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani)

Sementara menurut Ibnu Hajar Rahimahullah pula, sunat memotong kuku itu pada hari Khamis atau pagi Juma‘at atau pada hari Isnin.

4. Menanam Potongan Kuku

Islam sangat perihatin terhadap memuliakan anak Adam termasuk memuliakan anggota badan manusia. Potongan-potongan kuku sunat ditanam di dalam tanah sebagai tanda menghormatinya, kerana ia salah satu daripada anggota manusia. Sebagaimana disebutkan dalam kitab Fath al-Bari, bahawa Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu menanam potongan kuku.

5. Memotong Kuku Ketika Haid, Nifas Dan Junub

Menurut kitab Al-Ihya’, jika seseorang itu dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan dia memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub. Kerana segala potongan itu di akhirat kelak akan kembali kepadanya dengan keadaan junub.

6. Memanjangkan Kuku Dan Mewarnainya (Cutex)

Tabiat memanjangkan kuku dan membiarkannya tanpa dipotong adalah perbuatan yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihhi wasallam, kerana Baginda menggalakkan supaya memotong kuku. Jika dibiarkan kuku itu panjang, nescaya banyak perkara-perkara yang membabitkan hukum seperti wudhu, mandi wajib dan sebagainya.

Adapun dalam hal mewarnai kuku (cutex), perempuan yang bersuami adalah haram mewarnai kuku jika suaminya tidak mengizinkan. Sementara perempuan yang tidak bersuami pula, haram baginya mewarnai kuku. Demikian juga jika pewarna itu diperbuat daripada benda najis adalah haram digunakan melainkan ada hajat seperti berubat.

Jika pewarna kuku itu boleh menghalang daripada masuknya air, maka wajiblah ditanggalkan pewarna tersebut. Jika tidak ditanggalkan ia daripada kuku tangan atau kaki, maka tidaklah sah wudhu apabila dia berhadas kecil, atau mandi wajib apabila dia berhadas besar iaitu haid, nifas atau junub.

Hal ini berbeza pula dengan berinai, kerana perempuan yang bersuami atau perempuan yang hendak berihram sunat baginya berinai atau berpacar. Walau bagaimanapun cara berinai yang disunatkan itu ialah dengan menggunakan daun inai pada seluruh dua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan. Disunatkan juga menyapukan sedikit inai kemuka, sebab ketika ihram, perempuan disuruh membuka muka dan kadang-kadang kedua telapak tangannya akan terbuka. Maka dengan berinai itu akan menutupi warna kulit tangan dan muka.

Adapun perempuan yang tidak bersuami, adalah makruh berinai (menginai seluruh dua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan) tanpa ada sesuatu sebab keuzuran dan tidak pula bermaksud untuk melakukan ihram. Ini kerana ditakuti akan menimbulkan fitnah.

Sementara cara berinai dengan hanya menginaikan hujung-hujung jari sahaja dan membuat ukiran-ukiran tertentu adalah tidak dianjurkan, bahkan haram hukumnya berbuat begitu. Akan tetapi diharuskan bagi perempuan yang bersuami berinai dengan cara berkenaan dengan syarat ada keizinan daripada suami. Ini memandangkan ada tujuan isteri berhias untuk suami. Jika tanpa ada keizinan suami maka hukumnya tetap haram.

Manakala hukum berinai bagi kaum lelaki pada dua tangan dan kaki adalah haram. Sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik katanya yang maksudnya :


“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kaum lelaki memakai za‘faran (kuma-kuma).” (Hadis riwayat Muslim)

Tambahan lagi, perbuatan berinai pada tangan dan kaki itu terdapat di dalamnya unsur-unsur menyerupai cara kaum wanita berhias. Akan tetapi jika lelaki itu berinai kerana ada keuzuran iaitu ada keperluan atau hajat seperti untuk berubat, tidaklah diharamkan malahan tidak juga dimakruhkan ke atasnya berinai

7. Ketika Melakukan Ibadah Korban

Apabila masuk 10 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang hendak membuat korban untuk dirinya supaya tidak memotong kuku sehinggalah dia selesai menjalankan upacara korban itu, sebagaimana disunatkan tidak menggunting atau mencukur rambut atau lain-lain. Hikmatnya supaya keampunan Allah itu akan didapati secara menyeluruh termasuk keseluruhan anggota-anggota dirinya ketika menyembelih korban sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :


“Jika kamu nampak anak bulan Dzul Hijjah, dan jika salah seorang kamu hendak berqurban, maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya.” (Hadis riwayat Muslim)

8. Memotong Kuku Ketika Ihram

Di antara perkara-perkara sunat dilakukan sebelum berniat ihram haji atau umrah ialah mandi sunat ihram. Sebelum mandi sunat ihram, sunat pula terlebih dahulu memotong misai, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari dan memotong kuku.

Adapun seseorang yang sudah berniat ihram, haram ke atasnya menghilangkan segala bulu-bulu di tubuh badan dengan senghaja seperti memotong rambut, misai, janggut, bulu ari-ari dan bulu kaki. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.” (Surah al-Baqarah: 196)

Demikian juga, haram dia memotong kuku tangan dan kaki dengan senghaja, sama ada dengan cara apa sekalipun seperti menggunting, menggigit dan sebagainya.

Apabila seseorang yang masih dalam ihram, melakukan perkara-perkara yang dilarang tersebut, seperti memotong kuku walaupun hanya sedikit atau sebahagian kuku, maka wajib ke atasnya membayar dam.

Dam bagi orang yang memotong kuku ketika dalam ihram dipanggil dam takhyir wa takdir. Dam takhyir ialah dam yang boleh dipilih salah satu daripada dam-dam yang telah ditetapkan oleh syarak mengikut kemampuan. Manakala takdir pula, ialah syarak menjadikan pengganti dam yang berpatutan mengikut kadarnya, tidak lebih dan tidak kurang.

Dam yang diwajibkan itu ialah menyembelih seekor kambing atau memberi makan enam orang miskin setiap seorang daripada mereka dua cupak makanan ataupun berpuasa selama tiga hari. Firman Allah Ta‘ala:


Tafsirnya: “Maka sesiapa di antara kamu sakit, atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya) hendaklah ia membayar fidyah iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih dam.” (Surah al-Baqarah: 196)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ka‘ab bin ‘ujrah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya :
“Daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Berkemungkinan engkau disakiti oleh kutu-kutumu.”

(Ka‘ab bin‘Ujrah) berkata: “Ya! Wahai Rasullullah.

Baginda bersabda: “Cukurlah rambutmu dan puasalah tiga hari atau berilah makan enam orang miskin atau sembelihlah kambing.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sebagaimana dalil dari al-Qur’an dan hadis yang telah disebutkan di atas, bahawa seseorang yang dalam ihram apabila ada sesuatu yang menyakiti di kepalanya seperti luka dan terpaksa dicukur rambutnya, maka bolehlah dia berbuat demikian akan tetapi hendaklah dia membayar dam. Demikian juga, jika menyakiti kuku kaki atau tangannya, bolehlah dia memotongnya akan tetapi wajib dia membayar dam.

Manakala seseorang yang berakal (tidak gila atau bukan kanak-kanak) jika lupa atau tidak mengetahui bahawa perbuatan memotong kuku ketika dalam ihram itu haram, maka tidaklah dia berdosa dan menurut pendapat yang ashah wajib dia membayar dam.

Adapun kadar kuku yang diwajibkan membayar dam di atas ialah sama kadarnya dengan rambut iaitu tiga potongan kuku atau lebih, dan memotongnya sekaligus di dalam waktu dan tempat yang sama.

Seseorang yang memotong kuku ketika dalam ihram dengan hanya memotong satu atau dua kerat kuku atau memotong tiga kerat kuku di waktu atau tempat yang berbeza-beza, adakah orang tersebut dikenakan membayar dam atau tidak?

Dalam hal ini, menurut pendapat yang shahih, jika seseorang yang masih dalam ihram memotong kukunya hanya satu kerat, maka diwajibkan membayar satu cupak makanan. Jika dia memotong dua kerat kuku, maka diwajibkan membayar dua cupak makanan. Adapun jika dia memotong tiga kerat kuku di waktu atau tempat yang berbeza, maka diwajibkan membayar pada setiap satu kerat kuku satu cupak makanan. Ini bererti, jika dia memotong tiga kerat kuku di waktu atau tempat yang berbeza, maka diwajibkan tiga cupak makanan.

4. Memotong Kuku Mayat

Di antara perkara-perkara sunat dilakukan bagi orang yang sakit atau orang yang hampir nazak ialah mengelokkan diri iaitu dengan memotong kuku, misai, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari, bersugi, mandi, berwangian dan memakai pakaian yang bersih.

Imam asy-Syafie tidak menyatakan di dalam kitabnya bahawa sunat memotong kuku mayat, akan tetapi beliau menyatakan perselisihan pendapat antara guru-gurunya dalam menggalakkan dan meninggalkan perbuatan memotong kuku mayat. Akan tetapi beliau memilih dan mentarjih pendapat untuk meninggalkan perbuatan memotong kuku mayat. Maka pendapat yang betul adalah membiarkan kuku mayat tersebut, kerana segala anggota mayat itu dimuliakan dan tidak ada hadis shahih yang menggalakkan perbuatan memotong kuku mayat, bahkan makruh hukumnya jika berbuat demikian. Demikian juga menurut Imam Ibnu Hajar, pendapat yang azhar adalah makruh memotong kuku mayat.

Adapun orang yang meninggal dunia ketika dalam ihram haji atau umrah, haram dipotong kuku mayat tersebut, sebagaimana haram mewangikan tubuh badannya dan memotong rambutnya. Ini kerana diibaratkan keadaannya itu ketika dia masih hidup, di mana haram ke atasnya memotong kuku ketika dalam ihram. Namun jika kuku mayat tersebut menyukarkan tukang mandi untuk membersihkannya, maka tidaklah mengapa jika dipotong kuku tersebut dan tidak juga dikenakan dam ke atas orang yang memotong kuku itu.

Penutup

Sebagai satu rumusan, memandangkan kuku salah satu daripada anggota manusia dan ia kadang-kadang berhubungkait dengan ibadat, maka sayugialah setiap orang Islam itu mengambil perhatian dan mengambil tahu terhadap perkara-perkara yang digalakkan atau dilarang tentang memotong atau menyimpan kuku. Kadang-kadang tanpa disedari perkara yang dianggap kecil itu boleh membawa kepada masalah yang besar.


sumber

Saturday, November 21, 2009

ISU - ISU DAGING KORBAN

Suasana ‘Idul Adha atau dikenal juga sebagai Hari Raya Korban tidaklah sehebat ‘Idul Fitri. ‘Idul Fitri disambut dengan ‘bermati-matian’ di mana persediaan menyambut kedatangannya dibuat lebih awal dan ada orang sanggup ‘berbelanja besar’ kerananya. Inilah suatu hakikat yang tidak selaras dengan agama.

‘Idul Adha mengingatkan kita kepada peristewa penyembelihan Nabi Ismail. Sejak dari saat itulah penyembelihan binatang korban menjadi salah satu syiar dalam Islam.

Kalau ada orang sanggup ‘berbelanja besar’ kerana Hari Raya Fitri, maka inilah saatnya kita ‘berbelanja besar’ kerana menyertai amalan berkorban binatang, kerana ia menjanjikan pahala yang besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang antaranya:

i. Orang yang berkorban itu akan dikurniakan kebajikan (hasanah) sebanyak bulu binatang yang dikorban.

ii. Titisan darah korban yang pertama adalah pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu.

iii. Darah korban itu jika tumpah ke bumi, maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Tidak syak lagi menyembelih binatang korban itu tanda bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh kerana itu, jika seseorang itu mempunyai harta sebanyak nilai harga binatang korban, selepas ditolak keperluannya dan keperluan orang-orang di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari Tasyrik, maka dia dianggap telah memenuhi syarat-syarat boleh berkorban.

Meninggalkan ibadah korban walaupun tidak berdosa, namun seseorang itu bukan hanya kehilangan pahala-pahala besar yang dijanjikan dan tidak mendapat pahala sunnah, bahkan dihukum pula sebagai makruh.

Yang demikian itu, rebutlah peluang berkorban ini yang datangnya hanya setahun sekali, itupun jika ada umur yang lebih, sambil itu sama-samalah kita memerhatikan hukum-hakam mengenainya supaya bertambah sempurna amalan korban itu dan dalam waktu yang sama terjauh daripada segala yang boleh mencacatkannya.

Isu-Isu Daging Korban Wajib

Udhhiyyah atau korban itu terbahagi kepada dua iaitu udhhiyyah wajibah (korban wajib) dan udhhiyyah mandubah (korban sunat).

Binatang sembelihan bagi ibadat korban itu menjadi wajib apabila ia dinazarkan, sama ada nazar itu nazar yang sebenar (nazar hakikat) ataupun nazar dari segi hukum sahaja, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya : “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan nazar yang sebenar itu adalah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan ‘nazar’. Sebagai contoh orang yang berkorban itu berkata: “Demi Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai korban”, ataupun dia berkata: “Aku bernazar untuk menyembelih kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti”.

Adapun bernazar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: “Aku jadikan kambing ini untuk korban”, ataupun dia berkata: “Ini adalah korban”, maka dianggap sama seperti bernazar yang sebenar kerana dia telah menentukan (ta‘ayin) binatang tersebut.

Maka yang demikian itu wajib disedekahkan semua daging sembelihan itu termasuk kulit dan tanduknya. Untuk lebih jelasnya lagi disebutkan beberapa isu berhubung dengan korban wajib yang perlu diambil perhatian seperti berikut:

(1) Hukum Memakan Daging Korban Wajib
Haram atas orang yang berkorban wajib itu memakan daging tersebut walaupun sedikit. Jika dimakannya daging tersebut, wajib diganti kadar yang dimakannya itu, tetapi tidak wajib dia menyembelih binatang lain sebagai ganti.

(2) Makan Daging Korban Yang Diwasiatkan
Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat daripada seseorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.

(3) Menukar Binatang Korban Wajib Dengan Yang Lebih Baik
Binatang korban wajib itu tidak boleh ditukar dengan yang lain walaupun dengan yang lebih baik. Apatah lagi dijual, disewakan atau dihibahkan (diberikan).

(4) Melambat-lambatkan Pembahagian Daging Korban
Jika orang yang berkorban itu melambat-lambatkan pembahagian daging korban wajib tersebut sehingga rosak, maka wajib ke atas orang yang berkorban itu bersedekah dengan harga daging itu dan tidaklah wajib dia membeli yang baharu sebagai gantinya kerana telah dikira memadai dengan sembelihan tersebut.

(5) Menjual Binatang Korban Wajib
Sekiranya binatang korban wajib itu dijual oleh orang yang berkoban, maka hendaklah dia mendapatkannya semula daripada orang yang telah membelinya jika masih ada di tangan pembeli dan dia hendaklah memulangkan harga belian yang diterimanya. Jika tiada lagi di tangan pembeli, umpamanya sudah disembelihnya, maka wajib baginya mengadakan nilaian harga yang lebih mahal daripada harga waktu dia memiliki yang dahulu, dan hendaklah dia membeli semula dengan nilaian itu binatang korban yang sama jenisnya dan sama umurnya untuk disembelih pada tahun itu juga. Jika luput dia daripada menyembelihnya, maka wajib ke atasnya menyembelih binatang korban wajib itu pada tahun hadapannya sebagai qadha yang luput itu. Jika harga binatang korban itu (yang sama jenis dan umur dengan yang dahulu) lebih mahal kerana naik harga dan harga nilaian itu tidak mencukupi untuk membeli binatang yang sama dengan yang dahulu itu hendaklah ditambahnya dengan hartanya yang lain. Begitulah juga hukumnya jika binatang itu tidak disembelih setelah masuk Hari Raya Adha dan binatang itu binasa dalam tempoh tersebut.

(6) Binatang Korban Dicuri Dan Dibinasakan Orang Lain
Jika binatang korban wajib itu rosak, umpamanya mati atau dicuri orang sebelum masuk waktu berkorban dan bukan kerana kecuaiannya, tidaklah wajib dia menggantinya.
Manakala jika ia dibinasakan oleh orang lain, maka hendaklah orang yang membinasakan itu mengganti harga binatang korban wajib itu kepada orang yang punya korban dan dia hendaklah membeli semula binatang yang sama seperti yang dahulu, jika tidak diperolehi binatang yang sama, hendaklah dibelinya yang lain sahaja sebagai ganti.

(7) Disembelih Sebelum Masuk Waktu
Adapun jika binatang korban wajib itu disembelih sebelum masuk waktu korban, wajiblah disedekahkan kesemua dagingnya dan tidak boleh bagi orang yang berkorban wajib itu memakan dagingnya walaupun sedikit dan wajib pula menyembelih yang sama dengannya pada hari korban itu sebagai ganti.

(8) Kecacatan Binatang Korban Wajib
Jika binatang korban yang telah ditentukan dalam korban wajib itu menjadi cacat (‘aib) setelah dinazarkan dan sebelum masuk waktu menyembelihnya dan kecacatan binatang itu adalah cacat yang tidak boleh dibuat korban pada asalnya, maka tidaklah disyaratkan menggantinya dan tidaklah terputus hukum wajib menyembelihnya dengan adanya cacat tersebut. Bahkan jika disembelihnya pada Hari Raya Adha adalah memadai (boleh dibuat) sebagai korban.

(9) Binatang Cacat Disembelih Sebelum Masuk Waktunya
Sekiranya binatang yang dalam keadaan cacat itu disembelih sebelum Hari Raya Adha hendaklah disedekahkan dagingnya itu dan tidak wajib menggantinya dengan binatang yang sama untuk disembelih pada Hari Raya Adha itu. Tetapi wajib bersedekah nilaian harga binatang yang disembelih itu.

(10) Cacat Setelah Masuk Waktu Menyembelih
Jika kecacatan itu berlaku setelah Hari Raya Adha dan disembelih dalam keadaan yang demikian, maka tidaklah ia memadai (tidak memenuhi syarat) sebagai korban, kerana ia telah menjadi barang jaminan selagi belum disembelih, dan wajib diganti dengan yang baru.

Isu-Isu Daging Korban Sunat

Sebagaimana yang kita ketahui berkorban itu hukumnya sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Jumhur ulama juga mengatakan ia adalah sunat bagi orang yang mampu. Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukan korban. Walau bagaimanapun jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran, tidaklah dia berdosa dan tidak wajib dia mengqadhanya.

Terdapat beberapa isu yang perlu diambil perhatian berhubung dengan korban sunat seperti berikut:

(1) Memakan Daging Korban Sunat

Sunat bagi orang yang empunya korban itu memakan sebahagian daripadanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
“Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir”. (Surah Al-Hajj: 28)

Afdhalnya yang dimakan itu ialah hatinya, kerana telah diriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah makan sebahagian daripada hati binatang korbannya, tetapi makan di sini bukanlah bererti dia wajib memakannya.

(2) Menyedekahkan Daging Korban Sunat

Berdasarkan kepada ayat di atas, para ulama berpendapat bahawa selain daripada sunat dimakan, wajib pula disedekahkan sebahagian daripada daging korban sunat itu dalam keadaan mentah lagi basah kepada orang-orang fakir atau miskin yang Islam.

Ini bererti setiap orang yang berkorban sunat itu wajib menyediakan sebahagian daripada daging korbannya itu untuk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin. Tidak memadai jika daging-daging korban itu dihadiahkan keseluruhannya kepada orang-orang kaya misalnya. Hal inilah yang wajib diketahui oleh setiap orang yang berkorban.

(3) Cara Pembahagian (Menyedekahkan)

Harus bagi orang yang berkorban itu membahagikan daging korbannya kepada tiga bahagian; satu pertiga untuk dimakan, satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin dan satu pertiga lagi untuk dihadiahkan kepada orang kaya.

(4) Afdhal disedekahkan Kesemuanya

Namun yang afdhalnya adalah disedekahkan semuanya, melainkan dimakannya sedikit sahaja iaitu kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya, kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan jauh daripada sifat mementingkan diri sendiri.

(5) Jika Dimakan Kesemuanya

Sekalipun sah korban sunat seseorang itu, jika dimakan kesemua daging korbannya dan tiada sedikit pun disedekahkan kepada orang fakir atau miskin, tetapi wajib didapatkan atau dibeli daging-daging yang lain kadar yang wajib disedekahkan sebagai ganti.

(6) Daging Korban Untuk Hadiah

Memberikan daging korban sunat sebagai hadiah kepada orang kaya Islam adalah harus. Walau bagaimanapun hadiah itu setakat untuk dimakan sahaja, bukan untuk tujuan memilikinya. Ini bererti dia tidak boleh menjualnya, menghibahkannya atau sebagainya kecuali menyedekahkannya kepada fakir atau miskin. Berlainan halnya dengan orang fakir dan miskin, di mana daging yang disedekahkan kepadanya itu adalah menjadi milik mereka. Mereka diharuskan menjual daging tersebut atau menghibahkan (memberikan) kepada orang lain.

(7) Menghadiahkan Daging Korban Kepada Orang Kafir

Satu perkara lagi yang wajib kita ketahui ialah hukum haram menyedekah dan menghadiahkan daging korban kepada orang kafir sekalipun dia kaum kerabat, sama ada ia korban wajib atau sunat sekalipun sedikit kerana ia adalah perkara yang berhubung dengan ibadat.

(8) Daging Korban Dijadikan Upah
Kulit atau daging binatang korban itu haram dijadikan upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah jika penyembelih itu orang miskin atau hadiah jika dia bukan orang miskin.

(9) Daging Korban Dijadikan Jamuan Bagi Fakir Miskin

Sepertimana yang dijelaskan di atas, bahagian yang wajib disedekahkan itu hendaklah ia daging yang masih basah dan mentah. Ini bererti tidak memadai jika bahagian yang disedekahkan itu bukan daging seperti kulit, hati, tanduk dan sebagainya. Begitu juga tidak memadai jika daging tersebut dimasak kemudian dipanggil orang-orang fakir dan miskin untuk memakannya kerana hak fakir dan miskin itu bukan pada makan daging tersebut, tetapi adalah memiliki daging berkenaan dan bukan memilikinya dalam keadaan yang telah dimasak.

(10) Berkorban Bagi Pihak Orang

Tidak sah dibuat korban bagi orang yang hidup melainkan dengan izinnya, dan tidak sah juga dibuat korban bagi orang yang telah mati jika simati tidak berwasiat untuk berbuat demikian.
Hukum Berwakil Membeli Dan Menyembelih Korban

Sepertimana kebiasaan di negara kita ibadat korban itu dilaksanakan dengan berkumpulan sama ada atas nama kementerian, jabatan, persatuan kampung dan sebagainya. Kadang-kadang ibadat korban itu sudah menjadi projek tahunan bagi pihak-pihak yang berkenaan itu.
Jika dilihat daripada amalan kebiasaan bagi perlaksanaan ibadah korban itu, kumpulan tersebut akan menentukan wakil mereka untuk mengurus pembelian, penyembelihan binatang korban dan pengagihan dagingnya di pusat-pusat penyembelihan. Jika ditinjau dari segi hukum, perlaksanaan yang sedemikian itu melibatkan hukum wakalah iaitu berwakil.

Huraian Umum Mengenai Wakalah

Wakalah dari segi bahasa bererti menyerahkan kuasa, pengawasan, penjagaan dan pemeliharaan. Dari segi istilah fiqh pula ialah seseorang itu menyerahkan sesuatu perkara ketika hidupnya kepada orang lain agar melakukannya dalam hal-hal yang boleh diwakilkan.

Hukum wakalah adalah harus berdasarkan Al-Qur’an, sunnah dan ijma‘ ulama. Wakalah mempunyai empat rukun iaitu:

i. Muwakkil (orang yang berwakil)
ii. Muwakkal (orang yang dijadikan wakil)
iii. Muwakkal fihi (sesuatu yang diwakilkan)
iv. Shighah (ijab dan qabul). (I‘anah At-Thalibin: 3/100-101)

Shighah Dalam Wakalah

Apa yang ingin dihuraikan di sini ialah rukun yang keempat iaitu shighah di mana perkara ini sangat penting diketahui demi menjaga keshahihan ibadah korban berkenaan.

Disyaratkan ijab ke atas orang yang berwakil itu dengan melafazkan sesuatu perkataan sama ada secara sharih (jelas atau terang) ataupun kinayah (yang tidak terang atau tidak jelas) seperti dalam kitabah (penulisan), persuratan atau dengan isyarat jika yang berwakil itu orang bisu yang boleh difahami, yang menyatakan bahawa orang yang berwakil itu adalah dengan keredhaan hatinya. (Majmuk: 14/197)

Ini bererti ada interaksi antara orang yang berwakil dengan orang yang diwakilkan yang dinamakan aqad. Namun orang yang dijadikan wakil itu tidak disyaratkan baginya qabul (ucap terima), kecuali di dalam keadaan tertentu seperti jika dalam perwakilan itu dengan upah. Contohnya orang yang berwakil itu mewakilkan seseorang untuk menjualkan sebidang tanahnya dengan harga sekian dan memberi upah kepada wakilnya itu. Maka dalam keadaan ini, wakil itu hendaklah melafazkan qabulnya sama ada dia menerimanya ataupun tidak. Adapun yang disyaratkan bagi orang yang dijadikan wakil itu ialah dia tidak menolak ucapan atau lafaz orang yang berwakil itu. Jika orang yang dijadikan wakil itu menolak ucapan tersebut, seperti dia berkata: “aku tidak terima” atau seumpamanya, maka batal dan tidak sah akad perwakilan itu.

Jika dilihat ketentuan hukum dalam bab wakalah dan dipraktikkan dengan cara kebiasaan yang tersebut di atas oleh sebahagian kumpulan yang berkorban itu ditakuti tidak menepati kehendak sebenar hukum wakalah. Pada kebiasaannya, orang-orang yang hendak menyertai ibadat korban akan mendaftarkan namanya dan membayar kadar tertentu bagi tujuan tersebut tanpa disertai dengan lafaz tawkil kepada wakil yang dilantik.

Amalan tersebut tidak memenuhi kehendak hukum berwakil kerana jika dilihat kepada tuntutan bab wakalah orang yang berwakil itu wajib melafazkan tawkilnya (akad) sama ada dengan lafaz yang sharih atau kinayah kepada wakil yang ditentukan bagi tujuan seperti membeli dan menyembelih binatang korban serta mengagihkan daging korban tersebut.
Melantik Wakil Kedua

Dalam bab wakil ini, para ulama fiqh juga berpendapat bahawa orang yang dijadikan wakil itu harus mewakilkan lagi kepada orang lain untuk menjadi wakil yang kedua tanpa perlu mendapat izin daripada orang yang berwakil. Itu pun jika perkara yang diwakilkan itu tidak dapat dikerjakan oleh wakil itu sendiri, disebabkan dia tidak layak melakukannya atau tidak berkemampuan mengerjakannya. Akan tetapi jika sebaliknya, iaitu dia mampu untuk melaksanakan perkara yang diwakilkan ke atasnya itu, maka tidak harus baginya melantik orang lain menjadi wakil yang kedua melainkan dengan izin orang yang berwakil. (Majmuk: 14/218)

Mewakilkan Sembelihan Binatang Korban

Menurut hukum asal berkorban itu bahawa sunat binatang yang hendak dijadikan korban itu disembelih oleh orang yang berkorban itu sendiri, kiranya dia pandai menyembelih. Walaupun begitu boleh juga dia mewakilkan orang lain untuk menyembelih korban itu dan hadir ketika penyembelihannya. Afdhalnya wakil itu ialah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai korban.

Keharusan berwakil dalam ibadah korban itu diambil daripada perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah berkorban dengan seratus ekor unta, di mana Baginda sendiri menyembelih - dengan tangan Baginda yang mulia - enam puluh tiga ekor, kemudian Baginda menyerahkan pisau penyembelih itu kepada Sayyidina Ali Karramallahu wajhah untuk menyembelih bakinya.

Persoalan Niat

Disyaratkan orang yang berkorban itu berniat kerana korban ketika menyembelih, kerana ia ibadat dan harus juga mendahulukan niat itu sebelum menyembelih mengikut pendapat yang ashah.

Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korbannya dengan hadir orang yang berwakil ketika itu. Dalam hal ini, niat orang yang berwakil itu adalah memadai dan wakil tidak perlu lagi berniat. Walau bagaimanapun adalah lebih baik orang yang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.

Apa yang mesti diambil perhatian dalam hal berniat korban ini, ada baiknya ditentukan niat itu umpamanya sebagai korban sunat -----------bagi mengelakkan niat itu menjadi korban wajib, kerana haram bagi yang berkorban itu makan daripada daging korban wajib, bahkan wajib disedekahkan semua daging tersebut kepada fakir miskin.

Lafaz Niat Dan Tawkil Dalam Korban

Niat itu tempatnya di hati dan sunat melafazkannya dengan lidah. Niat bagi korban sunat itu ialah seperti berikut: Maksudnya: “Sahaja aku melakukan korban yang sunat”

Contoh lafaz berwakil:
“Buatkan korban/udhhiyyah sunat untuk saya”, atau “Belikan korban sunat untuk saya”, yang bermakna: “Sembelihkan untuk saya, niatkan untuk saya.”

Contoh terima wakalah:
“Aku terima.”

Menyembelih Binatang Korban Di Luar Negeri Dan Dagingnya Diagihkan Ke Negeri Yang Lain
Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging korban itu ialah memindahkan daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging korban itu dibahagi-bahagikan kepada mereka yang berhak di negeri berkenaan itu.

Adakah harus bagi orang-orang tempatan berwakil untuk berkorban di luar negeri dan daging korban itu dipindahkan daripada tempat korban ke negeri atau daerah lain?

As-Sayyid Al-Bakri Ad-Dumyathi, Pengarang Hasyiah I‘anah At-Thalibin menjelaskan bahawa telah dijazamkan dalam An-Nihayah bahawa haram memindahkan daging korban daripada tempat berkorban itu seperti mana juga zakat, sama ada korban sunat atau wajib. Adapun yang dimaksudkan daripada korban sunat itu ialah bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin.
Manakala memindahkan wang daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban adalah di haruskan seperti mana katanya yang ertinya :

"Adapun memindah wang dirham daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli dengannya binatang korban di negeri tersebut maka ia adalah harus.” (I‘anat At-Thalibin: 2/380)

As-Syeikh Mohammad bin Sulaiman Al-Kurdi pernah ditanya :“Sudah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na‘am (seperti lembu dan kambing) di Mekkah untuk dijadikan aqiqah dan korban sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi. Adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak, mohon fatwakan kepada kami.

Jawapan: Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.” (I‘anah At-Thalibin: 2/381)

Dalam perkara ini pengarang Kitab Sabil Al-Muhtadin pula menyebutkan: Kata Syeikhi Muhammad bin Sulaiman: Harus berwakil pada membeli na‘am akan korban pada negeri yang lain dan pada menyembelih dia dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu intaha. Maka iaitu zahir sama ada negeri Mekkah atau lainnya tetapi jangan dipindahkan dagingnya daripada negeri tempat berkorban kepada negeri yang lain maka iaitu haram lagi akan datang kenyataannya dan sayuginya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini wallahu ‘alam. (Sabil Al-Muhtadin: 214)

Katanya lagi jikalau berwakil seorang akan seorang pada berkorban di negeri lain kerana menghasilkan murah umpamanya hendaklah disedekahkan oleh wakil akan dagingnya bagi fakir miskin negeri itu dan janganlah dipindahkannya akan sesuatu daripada dagingnya daripada negeri itu kepada negeri yang berwakil melainkan sekadar yang sunat ia memakan dia itupun jika ada korban itu sunat (adapun) jika ada korban itu wajib maka wajiblah atas wakil mensedekahkan sekeliannya kepada fakir di dalam negeri tempat berkorban itu (dan haram) atasnya memindahkan suatu daripadanya ke negeri yang lain. (Sabil Al-Muhtadin: 216)

Berdasarkan perkataan para ulama seperti yang dinukilkan di atas, adalah jelas bahawa hukumnya harus berwakil untuk membeli binatang korban di negeri yang lain dan menyembelihnya serta membahagikan daging tersebut kepada fakir miskin di negeri berkenaan.
Adapun memindahkan daging korban daripada tempat sembelihan Ke negeri yang lain itu adalah berhubungkait dengan hukum menyedekahkan daging korban itu:

Jika korban itu adalah korban wajib yang mana kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, maka haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan. Inilah pendapat jumhur ulama Syafi‘eyah.

Jika korban itu korban sunat di mana sebahagian daripada daging korban itu harus dihadiahkan atau dimakan oleh orang yang berkorban, maka bahagiannya (hak orang yang berkorban) itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain. Manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin itu wajib disedekahkan di tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain. (I‘anah At-Thalibin: 2:380)

Penutup
Mengingatkan hukum berkorban itu sunat mu’akkadah dan mempunyai kelebihan-kelebihannya yang banyak, sayugia jangan dilepaskan peluang untuk membuat amalan korban ini.

Supaya korban itu sempurna, fahamilah hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah korban itu. Begitu juga mengambil perhatian dalam memenuhi tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan seperti berwakil membeli dan menyembelih sebagaimana yang dijelaskan di atas supaya amalan berkorban itu benar-benar menepati syara‘.
sumber dari Mufti Kerajaan Brunei Darussalam.

Tuesday, November 17, 2009

PENYEMBELIHAN : ANTARA SYARIAT DAN KEZALIMAN


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihi Wasahbihi Waman Walaah

Kedatangan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah rahmat kepada manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan bahkan rahmat kepada sekalian yang wujud di alam ini. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Tafsirnya: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian alam." (Surah Al-Anbiyâ’: 107)

Cara Islam mengatur hubungan manusia sesama manusia, malah juga hubungan manusia dengan binatang dan seluruh alam ini, adalah bukti kerahmatan itu. Ini termasuklah cara melakukan penyembelihan binatang. Islam telah memberi garis pandu yang lengkap bagaimana untuk melakukannya. Di antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dari Abu Ya’la Syaddad Ibnu Aus Radhiallahu ‘anhu :

"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia menyelesakan binatang sembelihannya." (Hadits riwayat Muslim)

Menyembelih binatang dengan aturan yang telah ditetapkan oleh hukum syara‘ adalah satu jalan yang boleh menghalalkan daging binatang itu halal dimakan di samping memenuhi syarat-syarat yang lain. Hal ini digambarkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:


Tafsirnya: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas berhala; dan (diharamkan juga) kamu menengok nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasiq." (Surah Al-Ma’idah: 3)




Sekalipun disyariatkan demikian, namun ada juga suara-suara yang cuba mempertikaikan ketentuan hukum tersebut untuk meragukan keyakinan dan kefahaman kita dalam hal penyembelihan ini. Antaranya mereka mengatakan penyembelihan yang biasa dilakukan oleh orang Islam adalah suatu kezaliman terhadap binatang. Mereka berpendapat binatang tersebut perlu dipengsankan terlebih dahulu sebelum disembelih. Benarkah cara yang biasa kita lakukan iaitu tanpa memengsankan binatang sembelihan itu suatu kezaliman?




Islam telah menentukan rukun-rukun dan syarat-syarat sembelihan itu sebagaimana huraiannya yang berikut:




Rukun menyembelih itu ada empat:
1. Penyembelih
2. Binatang yang disembelih
3. Alat untuk meyembelih
4. Penyembelihan (perbuatan menyembelih)
Setiap rukun-rukun ini, mempunyai syarat-syaratnya yang tertentu.




1. Penyembelih
Syarat penyembelih itu hendaklah seorang Islam atau ahli kitab (yang memenuhi syarat hakiki orang ahli kitab sebagaimana yang disebutkan oleh ulama-ulama Asy-Syafi‘eyah).




Tiada halal sembelihan orang Majusi (penyembah api), penyembah berhala, orang murtad dan lain-lain daripada orang kafir yang tiada mempunyai kitab agama Allah.




2. Binatang yang disembelih
Syarat binatang yang disembelih itu ialah:




(i) Binatang darat yang halal dimakan.
(ii) Zhan (sangkaan) terhadap binatang, bahawa ada padanya hayah mustaqirrah pada permulaan penyembelihan kecuali binatang yang sakit.




Adapun binatang yang sakit atau kehausan tidak disyaratkan ada padanya hayah mustaqirrah ketika menyembelihnya, memadai sahaja padanya harakah mazbuh ketika menyembelihnya. Tetapi tidak halal jika binatang yang hendak disembelih yang nyawanya pada ketika itu di peringkat harakah mazbuh disebabkan oleh memakan tumbuh-tumbuhan yang membawa kepada maut, pukulan, hentakan dan seumpamanya daripada sebab-sebab yang boleh membawa kepada maut. Demikian yang dijelaskan dalam kitab-kitab Al-Majmu‘, Fath Al-‘Alam dan I’anat At-Thalibin.




Adapun yang dimaksudkan dengan hayah mustaqirrah itu ialah keadaan binatang yang masih bernyawa dan melihat dan bersuara serta bergerak dengan kehendaknya, dan di antara tanda-tandanya ialah pergerakan yang kuat, pancutan darah, suara rengekan kerongkong dan yang seumpamanya selepas disembelih. Manakala yang dimaksudkan dengan harakah mazbuh ialah keadaan binatang yang tiada lagi ada padanya penglihatan, pergerakan, suara dengan kehendaknya atau keadaan binatang yang apabila dibiarkan dengan keadaannya yang sedemikian itu, ia akan mati dengan serta merta.




3. Alat untuk menyembelih
Disyaratkan alat untuk menyembelih itu sesuatu yang boleh memotong dengan ketajamannya selain kuku, gigi dan semua jenis tulang. Maka tidak halal binatang yang disembelih menggunakan tiga jenis alat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dari Rafi’ ibnu khadij Radhiallahu ‘anhu:




Maksudnya: "Apa-apa yang dapat mengalirkan darah serta disebut nama Allah padanya (waktu menyembelih), maka boleh kamu makan, kecuali gigi dan kuku, dan aku akan khabarkan kepada kamu sedemikian itu, (kerana) gigi adalah tulang dan kuku adalah pisau orang Habsyah." (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Penyembelihan
Disyaratkan penyembelihan itu:




(i) Memotong seluruh halqum (saluran nafas) dan seluruh mari` (saluran makanan dan minuman).




(ii) Niat untuk menyembelih ketika melakukan penyembelihan. Jika seseorang memegang pisau di tangannya dan terlepas pisau itu daripada tangannya, lalu terkena leher binatang dan terputus seluruh halqum dan mari`nya, tidaklah dikira sebagai penyembelihan, kerana tidak ada niat untuk melakukan penyembelihan, maka tidak halal memakan daging binatang tersebut.




(iii) Hendaklah binatang itu mati semata-mata disebabkan oleh penyembelihan (tidak dilakukan satu perbuatan lain yang boleh membawa maut kepada binatang itu ketika disembelih).




Apabila telah cukup segala rukun-rukun dan syarat-syarat penyembelihan yang tersebut, maka halal binatang itu kecuali sembelihan yang dimaksudkan kepada selain Allah atau disebutkan sewaktu menyembelihnya selain nama Allah, walaupun sembelihan itu mencukupi segala rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah disebutkan.




Dasar perintah ini ialah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:




Tafsirnya: "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, dan apa yang disembelih dengan menyebut selain nama Allah." (Surah Al-Nahl: 115)




Berdasarkan kepada rukun yang kedua (binatang yang disembelih) dan syarat-syaratnya, maka melemahkan atau memengsankan binatang yang hendak disembelih dengan cara seperti bius, stunning, kejutan elektrik yang tidak membawa kepada maut dan ada padanya hayah mustaqirrah ketika disembelih, adalah harus pada hukum syara’.




Penggunaan cara bius, stunning atau kejutan elektrik itu hendaklah disahkan dan diperakui oleh orang Islam yang adil yang pakar atau yang ahli dalam hal ini, bahawa binatang-binatang yang hendak di sembelih itu masih dalam keadaan hayah mustaqirrah, dan tidak menyebabkan penyeksaan terhadap binatang tersebut.






Jika perkara melemahkan atau memengsankan binatang itu akan menyeksa binatang tersebut, maka perbuatan yang sedemikian itu adalah haram, kerana Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam melaknat kepada sesiapa yang melakukan penyeksaan kepada binatang sama ada untuk tujuan menyembelihnya atau pun bukan. Pernah pada satu masa Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma melihat sekumpulan orang melontar seekor ayam yang sengaja ditambatkan lalu ia berkata:




Maksudnya: "Sesiapa yang melakukan perkara ini (menyeksa binatang), sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam melaknat sesiapa melakukan perkara ini." (Hadits riwayat Muslim)




Adapun hukum daging binatang yang diseksa itu, jika ia mati disebabkan oleh seksaan tersebut atau disembelih ketika nyawanya diperingkat harakah mazbuh, maka ia dihukumkan bangkai, manakala jika ia tidak mati kerana seksaan dan ada (zhan) sangkaan padanya hayah mustaqirrah melalui salah satu tandanya seperti pergerakan yang kuat, pancutan darah dan sebagainya selepas disembelih maka dagingnya itu halal dimakan.




Begitulah sikap agama Islam terhadap binatang yang hendak disembelih, dilakukan dengan penuh ihsan sebagaimana hadis yang tersebut di atas yang bermaksud:




"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh maka elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia menyelesakan kepada binatang sembelihannya". (Hadits riwayat Muslim)




Bahkan ada lagi etika penyembelihan yang amat elok diikuti (disunatkan melakukannya) yang termasuk dalam pengertian ihsan yang disebutkan di dalam hadis tersebut:




(i) Memalingkan binatang sembelihannya dan orang yang menyembelih ke kiblat, serta membaca Bismillah serta selawat dan salam kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam ketika menyembelih.




(ii) Mempercepatkan pemotongan halqum dan mari` ketika menyembelih.




(iii) Mengiringi binatang sembelihan ke tempat penyembelihan dengan lembut (selayaknya).




(iv) Memberi minum binatang sembelihan itu sebelum disembelih.




(v) Menajamkan pisau tidak diperlihatkan di hadapannya, dan ianya tidak disembelih di hadapan binatang-binatang yang lain.




(vi) Memotong wadajan (dua urat darah yang di leher), kerana ia cepat membawa kepada kematian binatang itu.




(vii) Jika sudah disembelih binatang itu, tidak segera dilapah dagingnya kecuali setelah ia sampai benar-benar mati dan sejuk tubuhnya.




Pada dasarnya agama Islam mengecam segala bentuk kezaliman, sekalipun terhadap binatang. Sebagai contoh seorang perempuan dimasukkan ke dalam neraka semata-mata menyeksa seekor kucing sepertimana yang terdapat diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abdullah Radhiallahu ‘anhu katanya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:




Maksudnya: "Seorang wanita diseksa pada hari kiamat lantaran dia mengurung seekor kucing sehingga kucing itu mati, kerana itu Allah memasukkannya ke neraka, oleh sebab kucing itu dikurungnya tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskannya supaya ia dapat menangkap serangga-serangga yang terdapat di bumi." (Hadits riwayat Muslim)




Sebaliknya seorang itu telah diberi ganjaran pengampunan kerana memberi minum seekor anjing yang kehausan sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:




Maksudnya: "Pada suatu ketika, ada seorang laki-laki sedang berjalan melalui sebatang jalan, lalu dia merasa sangat kehausan, kebetulan dia menemukan sebuah telaga, maka dia turun ke telaga itu untuk minum. Setelah keluar dari telaga, dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Orang itu berkata dalam hatinya: "Alangkah hausnya anjing ini, seperti yang baru kualami" lalu dia turun kembali ke telaga, diceduknya air dengan sepatunya, dibawanya ke atas dan diminumkannya kepada anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepada orang itu (diterimaNya amalnya) dan diampuniNya dosanya. Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Dapat pahalakah kami menyayangi haiwan-haiwan ini?" Jawab (Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam): "Menyayangi setiap makhluk hidup itu berpahala." (Hadits riwayat Muslim)




Lain-lain kezaliman yang dicela oleh Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:




Maksudnya: "Seekor semut menggigit seorang Nabi di antara para nabi-nabi, lalu Nabi tersebut menyuruh membakar sarang semut itu, lalu dibakarlah. Maka Allah mewahyukan kepadanya: "Hanya seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau musnahkan umat yang selalu membaca tasbih." (Hadits riwayat Muslim)




Demikian sikap Islam terhadap penyembelihan binatang dan kezaliman. Kedua-duanya sangat berbeza.




Jika kita mengikuti penyembelihan yang disyariatkan oleh Islam dan mengikut adab-adab yang telah dianjurkannya terhadap binatang sembelihan, maka itu sudah jelas bahawa ia menepati akan maksud berbuat ihsan kepada binatang. Adalah belum pasti bahawa melemahkan binatang dengan menggunakan bius atau lain-lain cara yang diamalkan oleh Barat itu lebih menepati apa yang dikehendaki oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam.




Tidak terdapat sebarang arahan syara’ menyuruh binatang-binatang itu dilemahkan atau dipengsankan terlebih dahulu dan kemudian barulah menyembelihnya. Sekiranya melemahkan atau memengsankan itu ialah cara yang dibuat atau dikehendaki oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam, nescaya sudah barang tentu ada hadis Baginda menyebut begitu, atau setidak-tidaknya perkhabaran daripada para sahabat yang telah menyaksikannya daripada Baginda.




Sebenarnya perbuatan menyembelih ini adalah bukan perkara akal semata-mata. Jika ianya telah mengikut kehendak syara’, maka kezaliman tidak lagi berbangkit. Inilah bahaya jika akal digunakan tanpa timbangan syara’, kerana berpandukan akal semata-mata itulah orang-orang jahil dan musuh-musuh Islam telah menohmah hudud undang-undang Islam sebagai kejam, ganas dan tidak sesuai dengan masa. Mereka mempertikaikan hukum potong tangan kerana mencuri, rejam dan sebat kerana zina, hukum bunuh balas bunuh (qishash) dan lain-lain tohmah yang diasaskan semata-mata kepada akal yang dangkal.




Orang-orang seperti itu langsung tidak memahami apa itu syara’, apatah lagi untuk memikirkan disebalik hukum syara’ itu ada hikmah atau rahsia yang tidak boleh dikesan dan dianalisa oleh akal seratus peratus. Firman Allah Ta’ala:




Tafsirnya: "Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit." (Surah Al-Isrâ’: 85)




Umat Islam hendaklah berwaspada terhadap segala tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada umat Islam yang kebanyakannya bukan sahaja bertujuan memberi keraguan dan gambaran yang buruk kepada penganut selain Islam, malah memberi keraguan kepada umat Islam sendiri, lebih-lebih lagi jika tohmahan itu datang daripada musuh-musuh Islam yang berselindung di bawah pertubuhan-pertubuhan yang kononnya berdasarkan kepada memperjuangan hak-hak asasi manusia atau hak asasi binatang.




Sebenarnya apabila musuh-musuh Islam itu membuat kecaman terhadap Islam dan umat Islam atas nama hak-hak, maka yang sebenarnya kecaman itu adalah sebagai merealisasikan permusuhan mereka yang panjang dan lama terhadap Islam, kerana itu Allah telah memperingatkan awal-awal lagi akan bahaya orang-orang kafir itu melalui firmanNya:




Tafsirnya: "Orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)." Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu." (Surah Al-Baqarah: 120)

FirmanNya lagi:
Tafsirnya: "Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik." (Surah Al-Mâ’idah: 82)




Walau bagaimanapun, orang-orang Islam hendaklah mencerminkan dan menggambarkan sesuatu yang terbaik kepada penganut-penganut agama yang lain, kerana dengan penampilan yang baik itu adalah merupakan salah satu cara dakwah yang akan menjinakkan hati orang-orang yang benar-benar mahu mencari kebenaran, semoga Allah akan memberi hidayat kepada mereka, sesuai dengan firmanNya:




Tafsirnya: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq." (Surah Ali ‘Imrân: 110)






sumber rujukan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam