Saturday, November 21, 2009

ISU - ISU DAGING KORBAN

Suasana ‘Idul Adha atau dikenal juga sebagai Hari Raya Korban tidaklah sehebat ‘Idul Fitri. ‘Idul Fitri disambut dengan ‘bermati-matian’ di mana persediaan menyambut kedatangannya dibuat lebih awal dan ada orang sanggup ‘berbelanja besar’ kerananya. Inilah suatu hakikat yang tidak selaras dengan agama.

‘Idul Adha mengingatkan kita kepada peristewa penyembelihan Nabi Ismail. Sejak dari saat itulah penyembelihan binatang korban menjadi salah satu syiar dalam Islam.

Kalau ada orang sanggup ‘berbelanja besar’ kerana Hari Raya Fitri, maka inilah saatnya kita ‘berbelanja besar’ kerana menyertai amalan berkorban binatang, kerana ia menjanjikan pahala yang besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang antaranya:

i. Orang yang berkorban itu akan dikurniakan kebajikan (hasanah) sebanyak bulu binatang yang dikorban.

ii. Titisan darah korban yang pertama adalah pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu.

iii. Darah korban itu jika tumpah ke bumi, maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Tidak syak lagi menyembelih binatang korban itu tanda bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh kerana itu, jika seseorang itu mempunyai harta sebanyak nilai harga binatang korban, selepas ditolak keperluannya dan keperluan orang-orang di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari Tasyrik, maka dia dianggap telah memenuhi syarat-syarat boleh berkorban.

Meninggalkan ibadah korban walaupun tidak berdosa, namun seseorang itu bukan hanya kehilangan pahala-pahala besar yang dijanjikan dan tidak mendapat pahala sunnah, bahkan dihukum pula sebagai makruh.

Yang demikian itu, rebutlah peluang berkorban ini yang datangnya hanya setahun sekali, itupun jika ada umur yang lebih, sambil itu sama-samalah kita memerhatikan hukum-hakam mengenainya supaya bertambah sempurna amalan korban itu dan dalam waktu yang sama terjauh daripada segala yang boleh mencacatkannya.

Isu-Isu Daging Korban Wajib

Udhhiyyah atau korban itu terbahagi kepada dua iaitu udhhiyyah wajibah (korban wajib) dan udhhiyyah mandubah (korban sunat).

Binatang sembelihan bagi ibadat korban itu menjadi wajib apabila ia dinazarkan, sama ada nazar itu nazar yang sebenar (nazar hakikat) ataupun nazar dari segi hukum sahaja, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya : “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan nazar yang sebenar itu adalah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan ‘nazar’. Sebagai contoh orang yang berkorban itu berkata: “Demi Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai korban”, ataupun dia berkata: “Aku bernazar untuk menyembelih kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti”.

Adapun bernazar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: “Aku jadikan kambing ini untuk korban”, ataupun dia berkata: “Ini adalah korban”, maka dianggap sama seperti bernazar yang sebenar kerana dia telah menentukan (ta‘ayin) binatang tersebut.

Maka yang demikian itu wajib disedekahkan semua daging sembelihan itu termasuk kulit dan tanduknya. Untuk lebih jelasnya lagi disebutkan beberapa isu berhubung dengan korban wajib yang perlu diambil perhatian seperti berikut:

(1) Hukum Memakan Daging Korban Wajib
Haram atas orang yang berkorban wajib itu memakan daging tersebut walaupun sedikit. Jika dimakannya daging tersebut, wajib diganti kadar yang dimakannya itu, tetapi tidak wajib dia menyembelih binatang lain sebagai ganti.

(2) Makan Daging Korban Yang Diwasiatkan
Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat daripada seseorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.

(3) Menukar Binatang Korban Wajib Dengan Yang Lebih Baik
Binatang korban wajib itu tidak boleh ditukar dengan yang lain walaupun dengan yang lebih baik. Apatah lagi dijual, disewakan atau dihibahkan (diberikan).

(4) Melambat-lambatkan Pembahagian Daging Korban
Jika orang yang berkorban itu melambat-lambatkan pembahagian daging korban wajib tersebut sehingga rosak, maka wajib ke atas orang yang berkorban itu bersedekah dengan harga daging itu dan tidaklah wajib dia membeli yang baharu sebagai gantinya kerana telah dikira memadai dengan sembelihan tersebut.

(5) Menjual Binatang Korban Wajib
Sekiranya binatang korban wajib itu dijual oleh orang yang berkoban, maka hendaklah dia mendapatkannya semula daripada orang yang telah membelinya jika masih ada di tangan pembeli dan dia hendaklah memulangkan harga belian yang diterimanya. Jika tiada lagi di tangan pembeli, umpamanya sudah disembelihnya, maka wajib baginya mengadakan nilaian harga yang lebih mahal daripada harga waktu dia memiliki yang dahulu, dan hendaklah dia membeli semula dengan nilaian itu binatang korban yang sama jenisnya dan sama umurnya untuk disembelih pada tahun itu juga. Jika luput dia daripada menyembelihnya, maka wajib ke atasnya menyembelih binatang korban wajib itu pada tahun hadapannya sebagai qadha yang luput itu. Jika harga binatang korban itu (yang sama jenis dan umur dengan yang dahulu) lebih mahal kerana naik harga dan harga nilaian itu tidak mencukupi untuk membeli binatang yang sama dengan yang dahulu itu hendaklah ditambahnya dengan hartanya yang lain. Begitulah juga hukumnya jika binatang itu tidak disembelih setelah masuk Hari Raya Adha dan binatang itu binasa dalam tempoh tersebut.

(6) Binatang Korban Dicuri Dan Dibinasakan Orang Lain
Jika binatang korban wajib itu rosak, umpamanya mati atau dicuri orang sebelum masuk waktu berkorban dan bukan kerana kecuaiannya, tidaklah wajib dia menggantinya.
Manakala jika ia dibinasakan oleh orang lain, maka hendaklah orang yang membinasakan itu mengganti harga binatang korban wajib itu kepada orang yang punya korban dan dia hendaklah membeli semula binatang yang sama seperti yang dahulu, jika tidak diperolehi binatang yang sama, hendaklah dibelinya yang lain sahaja sebagai ganti.

(7) Disembelih Sebelum Masuk Waktu
Adapun jika binatang korban wajib itu disembelih sebelum masuk waktu korban, wajiblah disedekahkan kesemua dagingnya dan tidak boleh bagi orang yang berkorban wajib itu memakan dagingnya walaupun sedikit dan wajib pula menyembelih yang sama dengannya pada hari korban itu sebagai ganti.

(8) Kecacatan Binatang Korban Wajib
Jika binatang korban yang telah ditentukan dalam korban wajib itu menjadi cacat (‘aib) setelah dinazarkan dan sebelum masuk waktu menyembelihnya dan kecacatan binatang itu adalah cacat yang tidak boleh dibuat korban pada asalnya, maka tidaklah disyaratkan menggantinya dan tidaklah terputus hukum wajib menyembelihnya dengan adanya cacat tersebut. Bahkan jika disembelihnya pada Hari Raya Adha adalah memadai (boleh dibuat) sebagai korban.

(9) Binatang Cacat Disembelih Sebelum Masuk Waktunya
Sekiranya binatang yang dalam keadaan cacat itu disembelih sebelum Hari Raya Adha hendaklah disedekahkan dagingnya itu dan tidak wajib menggantinya dengan binatang yang sama untuk disembelih pada Hari Raya Adha itu. Tetapi wajib bersedekah nilaian harga binatang yang disembelih itu.

(10) Cacat Setelah Masuk Waktu Menyembelih
Jika kecacatan itu berlaku setelah Hari Raya Adha dan disembelih dalam keadaan yang demikian, maka tidaklah ia memadai (tidak memenuhi syarat) sebagai korban, kerana ia telah menjadi barang jaminan selagi belum disembelih, dan wajib diganti dengan yang baru.

Isu-Isu Daging Korban Sunat

Sebagaimana yang kita ketahui berkorban itu hukumnya sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Jumhur ulama juga mengatakan ia adalah sunat bagi orang yang mampu. Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukan korban. Walau bagaimanapun jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran, tidaklah dia berdosa dan tidak wajib dia mengqadhanya.

Terdapat beberapa isu yang perlu diambil perhatian berhubung dengan korban sunat seperti berikut:

(1) Memakan Daging Korban Sunat

Sunat bagi orang yang empunya korban itu memakan sebahagian daripadanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
“Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir”. (Surah Al-Hajj: 28)

Afdhalnya yang dimakan itu ialah hatinya, kerana telah diriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah makan sebahagian daripada hati binatang korbannya, tetapi makan di sini bukanlah bererti dia wajib memakannya.

(2) Menyedekahkan Daging Korban Sunat

Berdasarkan kepada ayat di atas, para ulama berpendapat bahawa selain daripada sunat dimakan, wajib pula disedekahkan sebahagian daripada daging korban sunat itu dalam keadaan mentah lagi basah kepada orang-orang fakir atau miskin yang Islam.

Ini bererti setiap orang yang berkorban sunat itu wajib menyediakan sebahagian daripada daging korbannya itu untuk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin. Tidak memadai jika daging-daging korban itu dihadiahkan keseluruhannya kepada orang-orang kaya misalnya. Hal inilah yang wajib diketahui oleh setiap orang yang berkorban.

(3) Cara Pembahagian (Menyedekahkan)

Harus bagi orang yang berkorban itu membahagikan daging korbannya kepada tiga bahagian; satu pertiga untuk dimakan, satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin dan satu pertiga lagi untuk dihadiahkan kepada orang kaya.

(4) Afdhal disedekahkan Kesemuanya

Namun yang afdhalnya adalah disedekahkan semuanya, melainkan dimakannya sedikit sahaja iaitu kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya, kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan jauh daripada sifat mementingkan diri sendiri.

(5) Jika Dimakan Kesemuanya

Sekalipun sah korban sunat seseorang itu, jika dimakan kesemua daging korbannya dan tiada sedikit pun disedekahkan kepada orang fakir atau miskin, tetapi wajib didapatkan atau dibeli daging-daging yang lain kadar yang wajib disedekahkan sebagai ganti.

(6) Daging Korban Untuk Hadiah

Memberikan daging korban sunat sebagai hadiah kepada orang kaya Islam adalah harus. Walau bagaimanapun hadiah itu setakat untuk dimakan sahaja, bukan untuk tujuan memilikinya. Ini bererti dia tidak boleh menjualnya, menghibahkannya atau sebagainya kecuali menyedekahkannya kepada fakir atau miskin. Berlainan halnya dengan orang fakir dan miskin, di mana daging yang disedekahkan kepadanya itu adalah menjadi milik mereka. Mereka diharuskan menjual daging tersebut atau menghibahkan (memberikan) kepada orang lain.

(7) Menghadiahkan Daging Korban Kepada Orang Kafir

Satu perkara lagi yang wajib kita ketahui ialah hukum haram menyedekah dan menghadiahkan daging korban kepada orang kafir sekalipun dia kaum kerabat, sama ada ia korban wajib atau sunat sekalipun sedikit kerana ia adalah perkara yang berhubung dengan ibadat.

(8) Daging Korban Dijadikan Upah
Kulit atau daging binatang korban itu haram dijadikan upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah jika penyembelih itu orang miskin atau hadiah jika dia bukan orang miskin.

(9) Daging Korban Dijadikan Jamuan Bagi Fakir Miskin

Sepertimana yang dijelaskan di atas, bahagian yang wajib disedekahkan itu hendaklah ia daging yang masih basah dan mentah. Ini bererti tidak memadai jika bahagian yang disedekahkan itu bukan daging seperti kulit, hati, tanduk dan sebagainya. Begitu juga tidak memadai jika daging tersebut dimasak kemudian dipanggil orang-orang fakir dan miskin untuk memakannya kerana hak fakir dan miskin itu bukan pada makan daging tersebut, tetapi adalah memiliki daging berkenaan dan bukan memilikinya dalam keadaan yang telah dimasak.

(10) Berkorban Bagi Pihak Orang

Tidak sah dibuat korban bagi orang yang hidup melainkan dengan izinnya, dan tidak sah juga dibuat korban bagi orang yang telah mati jika simati tidak berwasiat untuk berbuat demikian.
Hukum Berwakil Membeli Dan Menyembelih Korban

Sepertimana kebiasaan di negara kita ibadat korban itu dilaksanakan dengan berkumpulan sama ada atas nama kementerian, jabatan, persatuan kampung dan sebagainya. Kadang-kadang ibadat korban itu sudah menjadi projek tahunan bagi pihak-pihak yang berkenaan itu.
Jika dilihat daripada amalan kebiasaan bagi perlaksanaan ibadah korban itu, kumpulan tersebut akan menentukan wakil mereka untuk mengurus pembelian, penyembelihan binatang korban dan pengagihan dagingnya di pusat-pusat penyembelihan. Jika ditinjau dari segi hukum, perlaksanaan yang sedemikian itu melibatkan hukum wakalah iaitu berwakil.

Huraian Umum Mengenai Wakalah

Wakalah dari segi bahasa bererti menyerahkan kuasa, pengawasan, penjagaan dan pemeliharaan. Dari segi istilah fiqh pula ialah seseorang itu menyerahkan sesuatu perkara ketika hidupnya kepada orang lain agar melakukannya dalam hal-hal yang boleh diwakilkan.

Hukum wakalah adalah harus berdasarkan Al-Qur’an, sunnah dan ijma‘ ulama. Wakalah mempunyai empat rukun iaitu:

i. Muwakkil (orang yang berwakil)
ii. Muwakkal (orang yang dijadikan wakil)
iii. Muwakkal fihi (sesuatu yang diwakilkan)
iv. Shighah (ijab dan qabul). (I‘anah At-Thalibin: 3/100-101)

Shighah Dalam Wakalah

Apa yang ingin dihuraikan di sini ialah rukun yang keempat iaitu shighah di mana perkara ini sangat penting diketahui demi menjaga keshahihan ibadah korban berkenaan.

Disyaratkan ijab ke atas orang yang berwakil itu dengan melafazkan sesuatu perkataan sama ada secara sharih (jelas atau terang) ataupun kinayah (yang tidak terang atau tidak jelas) seperti dalam kitabah (penulisan), persuratan atau dengan isyarat jika yang berwakil itu orang bisu yang boleh difahami, yang menyatakan bahawa orang yang berwakil itu adalah dengan keredhaan hatinya. (Majmuk: 14/197)

Ini bererti ada interaksi antara orang yang berwakil dengan orang yang diwakilkan yang dinamakan aqad. Namun orang yang dijadikan wakil itu tidak disyaratkan baginya qabul (ucap terima), kecuali di dalam keadaan tertentu seperti jika dalam perwakilan itu dengan upah. Contohnya orang yang berwakil itu mewakilkan seseorang untuk menjualkan sebidang tanahnya dengan harga sekian dan memberi upah kepada wakilnya itu. Maka dalam keadaan ini, wakil itu hendaklah melafazkan qabulnya sama ada dia menerimanya ataupun tidak. Adapun yang disyaratkan bagi orang yang dijadikan wakil itu ialah dia tidak menolak ucapan atau lafaz orang yang berwakil itu. Jika orang yang dijadikan wakil itu menolak ucapan tersebut, seperti dia berkata: “aku tidak terima” atau seumpamanya, maka batal dan tidak sah akad perwakilan itu.

Jika dilihat ketentuan hukum dalam bab wakalah dan dipraktikkan dengan cara kebiasaan yang tersebut di atas oleh sebahagian kumpulan yang berkorban itu ditakuti tidak menepati kehendak sebenar hukum wakalah. Pada kebiasaannya, orang-orang yang hendak menyertai ibadat korban akan mendaftarkan namanya dan membayar kadar tertentu bagi tujuan tersebut tanpa disertai dengan lafaz tawkil kepada wakil yang dilantik.

Amalan tersebut tidak memenuhi kehendak hukum berwakil kerana jika dilihat kepada tuntutan bab wakalah orang yang berwakil itu wajib melafazkan tawkilnya (akad) sama ada dengan lafaz yang sharih atau kinayah kepada wakil yang ditentukan bagi tujuan seperti membeli dan menyembelih binatang korban serta mengagihkan daging korban tersebut.
Melantik Wakil Kedua

Dalam bab wakil ini, para ulama fiqh juga berpendapat bahawa orang yang dijadikan wakil itu harus mewakilkan lagi kepada orang lain untuk menjadi wakil yang kedua tanpa perlu mendapat izin daripada orang yang berwakil. Itu pun jika perkara yang diwakilkan itu tidak dapat dikerjakan oleh wakil itu sendiri, disebabkan dia tidak layak melakukannya atau tidak berkemampuan mengerjakannya. Akan tetapi jika sebaliknya, iaitu dia mampu untuk melaksanakan perkara yang diwakilkan ke atasnya itu, maka tidak harus baginya melantik orang lain menjadi wakil yang kedua melainkan dengan izin orang yang berwakil. (Majmuk: 14/218)

Mewakilkan Sembelihan Binatang Korban

Menurut hukum asal berkorban itu bahawa sunat binatang yang hendak dijadikan korban itu disembelih oleh orang yang berkorban itu sendiri, kiranya dia pandai menyembelih. Walaupun begitu boleh juga dia mewakilkan orang lain untuk menyembelih korban itu dan hadir ketika penyembelihannya. Afdhalnya wakil itu ialah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai korban.

Keharusan berwakil dalam ibadah korban itu diambil daripada perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah berkorban dengan seratus ekor unta, di mana Baginda sendiri menyembelih - dengan tangan Baginda yang mulia - enam puluh tiga ekor, kemudian Baginda menyerahkan pisau penyembelih itu kepada Sayyidina Ali Karramallahu wajhah untuk menyembelih bakinya.

Persoalan Niat

Disyaratkan orang yang berkorban itu berniat kerana korban ketika menyembelih, kerana ia ibadat dan harus juga mendahulukan niat itu sebelum menyembelih mengikut pendapat yang ashah.

Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korbannya dengan hadir orang yang berwakil ketika itu. Dalam hal ini, niat orang yang berwakil itu adalah memadai dan wakil tidak perlu lagi berniat. Walau bagaimanapun adalah lebih baik orang yang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.

Apa yang mesti diambil perhatian dalam hal berniat korban ini, ada baiknya ditentukan niat itu umpamanya sebagai korban sunat -----------bagi mengelakkan niat itu menjadi korban wajib, kerana haram bagi yang berkorban itu makan daripada daging korban wajib, bahkan wajib disedekahkan semua daging tersebut kepada fakir miskin.

Lafaz Niat Dan Tawkil Dalam Korban

Niat itu tempatnya di hati dan sunat melafazkannya dengan lidah. Niat bagi korban sunat itu ialah seperti berikut: Maksudnya: “Sahaja aku melakukan korban yang sunat”

Contoh lafaz berwakil:
“Buatkan korban/udhhiyyah sunat untuk saya”, atau “Belikan korban sunat untuk saya”, yang bermakna: “Sembelihkan untuk saya, niatkan untuk saya.”

Contoh terima wakalah:
“Aku terima.”

Menyembelih Binatang Korban Di Luar Negeri Dan Dagingnya Diagihkan Ke Negeri Yang Lain
Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging korban itu ialah memindahkan daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging korban itu dibahagi-bahagikan kepada mereka yang berhak di negeri berkenaan itu.

Adakah harus bagi orang-orang tempatan berwakil untuk berkorban di luar negeri dan daging korban itu dipindahkan daripada tempat korban ke negeri atau daerah lain?

As-Sayyid Al-Bakri Ad-Dumyathi, Pengarang Hasyiah I‘anah At-Thalibin menjelaskan bahawa telah dijazamkan dalam An-Nihayah bahawa haram memindahkan daging korban daripada tempat berkorban itu seperti mana juga zakat, sama ada korban sunat atau wajib. Adapun yang dimaksudkan daripada korban sunat itu ialah bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin.
Manakala memindahkan wang daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban adalah di haruskan seperti mana katanya yang ertinya :

"Adapun memindah wang dirham daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli dengannya binatang korban di negeri tersebut maka ia adalah harus.” (I‘anat At-Thalibin: 2/380)

As-Syeikh Mohammad bin Sulaiman Al-Kurdi pernah ditanya :“Sudah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na‘am (seperti lembu dan kambing) di Mekkah untuk dijadikan aqiqah dan korban sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi. Adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak, mohon fatwakan kepada kami.

Jawapan: Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.” (I‘anah At-Thalibin: 2/381)

Dalam perkara ini pengarang Kitab Sabil Al-Muhtadin pula menyebutkan: Kata Syeikhi Muhammad bin Sulaiman: Harus berwakil pada membeli na‘am akan korban pada negeri yang lain dan pada menyembelih dia dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu intaha. Maka iaitu zahir sama ada negeri Mekkah atau lainnya tetapi jangan dipindahkan dagingnya daripada negeri tempat berkorban kepada negeri yang lain maka iaitu haram lagi akan datang kenyataannya dan sayuginya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini wallahu ‘alam. (Sabil Al-Muhtadin: 214)

Katanya lagi jikalau berwakil seorang akan seorang pada berkorban di negeri lain kerana menghasilkan murah umpamanya hendaklah disedekahkan oleh wakil akan dagingnya bagi fakir miskin negeri itu dan janganlah dipindahkannya akan sesuatu daripada dagingnya daripada negeri itu kepada negeri yang berwakil melainkan sekadar yang sunat ia memakan dia itupun jika ada korban itu sunat (adapun) jika ada korban itu wajib maka wajiblah atas wakil mensedekahkan sekeliannya kepada fakir di dalam negeri tempat berkorban itu (dan haram) atasnya memindahkan suatu daripadanya ke negeri yang lain. (Sabil Al-Muhtadin: 216)

Berdasarkan perkataan para ulama seperti yang dinukilkan di atas, adalah jelas bahawa hukumnya harus berwakil untuk membeli binatang korban di negeri yang lain dan menyembelihnya serta membahagikan daging tersebut kepada fakir miskin di negeri berkenaan.
Adapun memindahkan daging korban daripada tempat sembelihan Ke negeri yang lain itu adalah berhubungkait dengan hukum menyedekahkan daging korban itu:

Jika korban itu adalah korban wajib yang mana kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, maka haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan. Inilah pendapat jumhur ulama Syafi‘eyah.

Jika korban itu korban sunat di mana sebahagian daripada daging korban itu harus dihadiahkan atau dimakan oleh orang yang berkorban, maka bahagiannya (hak orang yang berkorban) itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain. Manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin itu wajib disedekahkan di tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain. (I‘anah At-Thalibin: 2:380)

Penutup
Mengingatkan hukum berkorban itu sunat mu’akkadah dan mempunyai kelebihan-kelebihannya yang banyak, sayugia jangan dilepaskan peluang untuk membuat amalan korban ini.

Supaya korban itu sempurna, fahamilah hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah korban itu. Begitu juga mengambil perhatian dalam memenuhi tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan seperti berwakil membeli dan menyembelih sebagaimana yang dijelaskan di atas supaya amalan berkorban itu benar-benar menepati syara‘.
sumber dari Mufti Kerajaan Brunei Darussalam.

Tuesday, November 17, 2009

PENYEMBELIHAN : ANTARA SYARIAT DAN KEZALIMAN


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihi Wasahbihi Waman Walaah

Kedatangan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah rahmat kepada manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan bahkan rahmat kepada sekalian yang wujud di alam ini. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Tafsirnya: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian alam." (Surah Al-Anbiyâ’: 107)

Cara Islam mengatur hubungan manusia sesama manusia, malah juga hubungan manusia dengan binatang dan seluruh alam ini, adalah bukti kerahmatan itu. Ini termasuklah cara melakukan penyembelihan binatang. Islam telah memberi garis pandu yang lengkap bagaimana untuk melakukannya. Di antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dari Abu Ya’la Syaddad Ibnu Aus Radhiallahu ‘anhu :

"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia menyelesakan binatang sembelihannya." (Hadits riwayat Muslim)

Menyembelih binatang dengan aturan yang telah ditetapkan oleh hukum syara‘ adalah satu jalan yang boleh menghalalkan daging binatang itu halal dimakan di samping memenuhi syarat-syarat yang lain. Hal ini digambarkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:


Tafsirnya: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas berhala; dan (diharamkan juga) kamu menengok nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasiq." (Surah Al-Ma’idah: 3)




Sekalipun disyariatkan demikian, namun ada juga suara-suara yang cuba mempertikaikan ketentuan hukum tersebut untuk meragukan keyakinan dan kefahaman kita dalam hal penyembelihan ini. Antaranya mereka mengatakan penyembelihan yang biasa dilakukan oleh orang Islam adalah suatu kezaliman terhadap binatang. Mereka berpendapat binatang tersebut perlu dipengsankan terlebih dahulu sebelum disembelih. Benarkah cara yang biasa kita lakukan iaitu tanpa memengsankan binatang sembelihan itu suatu kezaliman?




Islam telah menentukan rukun-rukun dan syarat-syarat sembelihan itu sebagaimana huraiannya yang berikut:




Rukun menyembelih itu ada empat:
1. Penyembelih
2. Binatang yang disembelih
3. Alat untuk meyembelih
4. Penyembelihan (perbuatan menyembelih)
Setiap rukun-rukun ini, mempunyai syarat-syaratnya yang tertentu.




1. Penyembelih
Syarat penyembelih itu hendaklah seorang Islam atau ahli kitab (yang memenuhi syarat hakiki orang ahli kitab sebagaimana yang disebutkan oleh ulama-ulama Asy-Syafi‘eyah).




Tiada halal sembelihan orang Majusi (penyembah api), penyembah berhala, orang murtad dan lain-lain daripada orang kafir yang tiada mempunyai kitab agama Allah.




2. Binatang yang disembelih
Syarat binatang yang disembelih itu ialah:




(i) Binatang darat yang halal dimakan.
(ii) Zhan (sangkaan) terhadap binatang, bahawa ada padanya hayah mustaqirrah pada permulaan penyembelihan kecuali binatang yang sakit.




Adapun binatang yang sakit atau kehausan tidak disyaratkan ada padanya hayah mustaqirrah ketika menyembelihnya, memadai sahaja padanya harakah mazbuh ketika menyembelihnya. Tetapi tidak halal jika binatang yang hendak disembelih yang nyawanya pada ketika itu di peringkat harakah mazbuh disebabkan oleh memakan tumbuh-tumbuhan yang membawa kepada maut, pukulan, hentakan dan seumpamanya daripada sebab-sebab yang boleh membawa kepada maut. Demikian yang dijelaskan dalam kitab-kitab Al-Majmu‘, Fath Al-‘Alam dan I’anat At-Thalibin.




Adapun yang dimaksudkan dengan hayah mustaqirrah itu ialah keadaan binatang yang masih bernyawa dan melihat dan bersuara serta bergerak dengan kehendaknya, dan di antara tanda-tandanya ialah pergerakan yang kuat, pancutan darah, suara rengekan kerongkong dan yang seumpamanya selepas disembelih. Manakala yang dimaksudkan dengan harakah mazbuh ialah keadaan binatang yang tiada lagi ada padanya penglihatan, pergerakan, suara dengan kehendaknya atau keadaan binatang yang apabila dibiarkan dengan keadaannya yang sedemikian itu, ia akan mati dengan serta merta.




3. Alat untuk menyembelih
Disyaratkan alat untuk menyembelih itu sesuatu yang boleh memotong dengan ketajamannya selain kuku, gigi dan semua jenis tulang. Maka tidak halal binatang yang disembelih menggunakan tiga jenis alat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dari Rafi’ ibnu khadij Radhiallahu ‘anhu:




Maksudnya: "Apa-apa yang dapat mengalirkan darah serta disebut nama Allah padanya (waktu menyembelih), maka boleh kamu makan, kecuali gigi dan kuku, dan aku akan khabarkan kepada kamu sedemikian itu, (kerana) gigi adalah tulang dan kuku adalah pisau orang Habsyah." (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Penyembelihan
Disyaratkan penyembelihan itu:




(i) Memotong seluruh halqum (saluran nafas) dan seluruh mari` (saluran makanan dan minuman).




(ii) Niat untuk menyembelih ketika melakukan penyembelihan. Jika seseorang memegang pisau di tangannya dan terlepas pisau itu daripada tangannya, lalu terkena leher binatang dan terputus seluruh halqum dan mari`nya, tidaklah dikira sebagai penyembelihan, kerana tidak ada niat untuk melakukan penyembelihan, maka tidak halal memakan daging binatang tersebut.




(iii) Hendaklah binatang itu mati semata-mata disebabkan oleh penyembelihan (tidak dilakukan satu perbuatan lain yang boleh membawa maut kepada binatang itu ketika disembelih).




Apabila telah cukup segala rukun-rukun dan syarat-syarat penyembelihan yang tersebut, maka halal binatang itu kecuali sembelihan yang dimaksudkan kepada selain Allah atau disebutkan sewaktu menyembelihnya selain nama Allah, walaupun sembelihan itu mencukupi segala rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah disebutkan.




Dasar perintah ini ialah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:




Tafsirnya: "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, dan apa yang disembelih dengan menyebut selain nama Allah." (Surah Al-Nahl: 115)




Berdasarkan kepada rukun yang kedua (binatang yang disembelih) dan syarat-syaratnya, maka melemahkan atau memengsankan binatang yang hendak disembelih dengan cara seperti bius, stunning, kejutan elektrik yang tidak membawa kepada maut dan ada padanya hayah mustaqirrah ketika disembelih, adalah harus pada hukum syara’.




Penggunaan cara bius, stunning atau kejutan elektrik itu hendaklah disahkan dan diperakui oleh orang Islam yang adil yang pakar atau yang ahli dalam hal ini, bahawa binatang-binatang yang hendak di sembelih itu masih dalam keadaan hayah mustaqirrah, dan tidak menyebabkan penyeksaan terhadap binatang tersebut.






Jika perkara melemahkan atau memengsankan binatang itu akan menyeksa binatang tersebut, maka perbuatan yang sedemikian itu adalah haram, kerana Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam melaknat kepada sesiapa yang melakukan penyeksaan kepada binatang sama ada untuk tujuan menyembelihnya atau pun bukan. Pernah pada satu masa Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma melihat sekumpulan orang melontar seekor ayam yang sengaja ditambatkan lalu ia berkata:




Maksudnya: "Sesiapa yang melakukan perkara ini (menyeksa binatang), sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam melaknat sesiapa melakukan perkara ini." (Hadits riwayat Muslim)




Adapun hukum daging binatang yang diseksa itu, jika ia mati disebabkan oleh seksaan tersebut atau disembelih ketika nyawanya diperingkat harakah mazbuh, maka ia dihukumkan bangkai, manakala jika ia tidak mati kerana seksaan dan ada (zhan) sangkaan padanya hayah mustaqirrah melalui salah satu tandanya seperti pergerakan yang kuat, pancutan darah dan sebagainya selepas disembelih maka dagingnya itu halal dimakan.




Begitulah sikap agama Islam terhadap binatang yang hendak disembelih, dilakukan dengan penuh ihsan sebagaimana hadis yang tersebut di atas yang bermaksud:




"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh maka elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia menyelesakan kepada binatang sembelihannya". (Hadits riwayat Muslim)




Bahkan ada lagi etika penyembelihan yang amat elok diikuti (disunatkan melakukannya) yang termasuk dalam pengertian ihsan yang disebutkan di dalam hadis tersebut:




(i) Memalingkan binatang sembelihannya dan orang yang menyembelih ke kiblat, serta membaca Bismillah serta selawat dan salam kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam ketika menyembelih.




(ii) Mempercepatkan pemotongan halqum dan mari` ketika menyembelih.




(iii) Mengiringi binatang sembelihan ke tempat penyembelihan dengan lembut (selayaknya).




(iv) Memberi minum binatang sembelihan itu sebelum disembelih.




(v) Menajamkan pisau tidak diperlihatkan di hadapannya, dan ianya tidak disembelih di hadapan binatang-binatang yang lain.




(vi) Memotong wadajan (dua urat darah yang di leher), kerana ia cepat membawa kepada kematian binatang itu.




(vii) Jika sudah disembelih binatang itu, tidak segera dilapah dagingnya kecuali setelah ia sampai benar-benar mati dan sejuk tubuhnya.




Pada dasarnya agama Islam mengecam segala bentuk kezaliman, sekalipun terhadap binatang. Sebagai contoh seorang perempuan dimasukkan ke dalam neraka semata-mata menyeksa seekor kucing sepertimana yang terdapat diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abdullah Radhiallahu ‘anhu katanya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:




Maksudnya: "Seorang wanita diseksa pada hari kiamat lantaran dia mengurung seekor kucing sehingga kucing itu mati, kerana itu Allah memasukkannya ke neraka, oleh sebab kucing itu dikurungnya tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskannya supaya ia dapat menangkap serangga-serangga yang terdapat di bumi." (Hadits riwayat Muslim)




Sebaliknya seorang itu telah diberi ganjaran pengampunan kerana memberi minum seekor anjing yang kehausan sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:




Maksudnya: "Pada suatu ketika, ada seorang laki-laki sedang berjalan melalui sebatang jalan, lalu dia merasa sangat kehausan, kebetulan dia menemukan sebuah telaga, maka dia turun ke telaga itu untuk minum. Setelah keluar dari telaga, dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Orang itu berkata dalam hatinya: "Alangkah hausnya anjing ini, seperti yang baru kualami" lalu dia turun kembali ke telaga, diceduknya air dengan sepatunya, dibawanya ke atas dan diminumkannya kepada anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepada orang itu (diterimaNya amalnya) dan diampuniNya dosanya. Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Dapat pahalakah kami menyayangi haiwan-haiwan ini?" Jawab (Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam): "Menyayangi setiap makhluk hidup itu berpahala." (Hadits riwayat Muslim)




Lain-lain kezaliman yang dicela oleh Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:




Maksudnya: "Seekor semut menggigit seorang Nabi di antara para nabi-nabi, lalu Nabi tersebut menyuruh membakar sarang semut itu, lalu dibakarlah. Maka Allah mewahyukan kepadanya: "Hanya seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau musnahkan umat yang selalu membaca tasbih." (Hadits riwayat Muslim)




Demikian sikap Islam terhadap penyembelihan binatang dan kezaliman. Kedua-duanya sangat berbeza.




Jika kita mengikuti penyembelihan yang disyariatkan oleh Islam dan mengikut adab-adab yang telah dianjurkannya terhadap binatang sembelihan, maka itu sudah jelas bahawa ia menepati akan maksud berbuat ihsan kepada binatang. Adalah belum pasti bahawa melemahkan binatang dengan menggunakan bius atau lain-lain cara yang diamalkan oleh Barat itu lebih menepati apa yang dikehendaki oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam.




Tidak terdapat sebarang arahan syara’ menyuruh binatang-binatang itu dilemahkan atau dipengsankan terlebih dahulu dan kemudian barulah menyembelihnya. Sekiranya melemahkan atau memengsankan itu ialah cara yang dibuat atau dikehendaki oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam, nescaya sudah barang tentu ada hadis Baginda menyebut begitu, atau setidak-tidaknya perkhabaran daripada para sahabat yang telah menyaksikannya daripada Baginda.




Sebenarnya perbuatan menyembelih ini adalah bukan perkara akal semata-mata. Jika ianya telah mengikut kehendak syara’, maka kezaliman tidak lagi berbangkit. Inilah bahaya jika akal digunakan tanpa timbangan syara’, kerana berpandukan akal semata-mata itulah orang-orang jahil dan musuh-musuh Islam telah menohmah hudud undang-undang Islam sebagai kejam, ganas dan tidak sesuai dengan masa. Mereka mempertikaikan hukum potong tangan kerana mencuri, rejam dan sebat kerana zina, hukum bunuh balas bunuh (qishash) dan lain-lain tohmah yang diasaskan semata-mata kepada akal yang dangkal.




Orang-orang seperti itu langsung tidak memahami apa itu syara’, apatah lagi untuk memikirkan disebalik hukum syara’ itu ada hikmah atau rahsia yang tidak boleh dikesan dan dianalisa oleh akal seratus peratus. Firman Allah Ta’ala:




Tafsirnya: "Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit." (Surah Al-Isrâ’: 85)




Umat Islam hendaklah berwaspada terhadap segala tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada umat Islam yang kebanyakannya bukan sahaja bertujuan memberi keraguan dan gambaran yang buruk kepada penganut selain Islam, malah memberi keraguan kepada umat Islam sendiri, lebih-lebih lagi jika tohmahan itu datang daripada musuh-musuh Islam yang berselindung di bawah pertubuhan-pertubuhan yang kononnya berdasarkan kepada memperjuangan hak-hak asasi manusia atau hak asasi binatang.




Sebenarnya apabila musuh-musuh Islam itu membuat kecaman terhadap Islam dan umat Islam atas nama hak-hak, maka yang sebenarnya kecaman itu adalah sebagai merealisasikan permusuhan mereka yang panjang dan lama terhadap Islam, kerana itu Allah telah memperingatkan awal-awal lagi akan bahaya orang-orang kafir itu melalui firmanNya:




Tafsirnya: "Orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)." Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu." (Surah Al-Baqarah: 120)

FirmanNya lagi:
Tafsirnya: "Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik." (Surah Al-Mâ’idah: 82)




Walau bagaimanapun, orang-orang Islam hendaklah mencerminkan dan menggambarkan sesuatu yang terbaik kepada penganut-penganut agama yang lain, kerana dengan penampilan yang baik itu adalah merupakan salah satu cara dakwah yang akan menjinakkan hati orang-orang yang benar-benar mahu mencari kebenaran, semoga Allah akan memberi hidayat kepada mereka, sesuai dengan firmanNya:




Tafsirnya: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq." (Surah Ali ‘Imrân: 110)






sumber rujukan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam

Sunday, November 8, 2009

KHASIAT BATU PERMATA


Mengikut dalam Kitab “Doa Selamat Jiwa Dan Ringkasan Huraian Khasiat Batu-Batu Permata Dan Lainnya” Karangan Muhammad Abdullah. Madrasah Mahiliyah Genting Tumpat,Kelantan.

1 Batu Permata Ya’kub

Batu permata Ya’kub, atau dikenali dengan batu permata delima, sifat batu ini keras lagi berat, sangat jernis warnanya, dan jika warna yang lain daripada warna hijau, sangat payah hangus apabila dibakar dengan api, dan batu delima yang terlebih baik ialah warna yang merah yang sejahtera daripada rengkahan dan sumbil.

Jika hendak memilih batu delima, pilihlah batu yang merah atau kuning atau hijau atau puteh, adapun warna yang lain daripada empat ini, kurang ia pada kemulian dan pada pihak khasiatnya.

Sesiapa memakai cincin permata delima atau menanggongnya, nescaya Allah menghidarkan daripada sebarang penyakit terutamanya penyakit taun, walaupun taun sedang merebak dimerata tempat dengan izin Allah swt.

Tersebut dalam kitab Hadiqatul Azhar, faedah sesiapa bercincin dengan ya’kub merah (delima yang merah) atau dikenakan pada tubuhnya, nescaya terhidar daripada penyakit gila, babi, taun.
Sesiapa menanggong ya’kub kuning atau bercincin dengannya, nescaya menegah daripada ikhtilam (minpi yang buruk), bagitu juga delima puteh, Allah swt.meluaskan rezeki untuknya .

2 Batu Permata Zamrud


Batu permata zamrud. ia mempunti khsiat yang tersendiri,diantaranya sesiapa memakainya, nescaya tidak terjadi kepayahan dan kesukaran sekali – kali dengan izin Allah swt. dan sesiapa menilik (melihat) kepada zamrud bertambah cahaya mata (mata menjadi cerah) dan jika hampir kepada makanan yang beracun nescaya berpeluh ia dan jika digantong pada rambut perempuan yang tiada bersuami nescaya dapat bersuami dengan izin Allah swt. dan khasiatnya lagi untuk menghilangkan penyakit sawan ,dukacita ,pemalas.
Ada juga satu jenis zamrud iaitu zamrud alzubabi namanya, sesiapa menanggongnya tiada dihinggap oleh lalat atas orang yang menanggongnya dengan izinAllah swt.

3 Batu Permata Firuz


sejenis batu hijau bercampur biru pada kebiasaannya, ia terdapat di negeri khurasan. sifat batu ini ,ia mengikut cuaca langit dan keroh warnanya jika langit itu gelap.

Khasiatnya apabila bercelak mata dengan debunya nescaya cerah mata dan jika diperbuat cincin kurang hebat bagi orang yang memakainya.tetapi jika orang yang selalu memakai mempusakai kaya dan banyak harta tidak menjadi papa. Dan lagi orang yang memakai permata firus tiada mati tenggelam air dan tidak mati dengan kena petir dan tidak mati menakut dan diriwayat dari Ja’afar as Sodiq r.a. katanya tiada papa bagi orang yang sentiasa memakai cincin permata firus dengan izin Allah swt.

4 Batu Permata ‘Aqid Yaman
Ia itu batu termaklun, maka khasiatnya sesiapa yang memakai cincin ini, mudah hilang marah bila dia berkelahi dan kurang ketawa, debunya di buat bersugi gigi , jadi bersih dan kuat gusi iaitu tidak mudah berdarah gusi, ia juga sebagai penawar bagi orang yang berpenyakit gementar hati yang membawa kepada gila.
khasiat lagi sabda Nabi saw sesiapa memakai cincin ‘Aqid ini sentiasa ia dalam kebajikan dan berkat dan kesukaan.

5 Batu Permata Al-Hijrul Mughnathis

Dalam bahasa arab iaitu batu Berani jenis yang baik warnanya hitam sebenarnya merah di dapati di tepi laut negeri Hindia dan laut Turki, berpantang jangan bagi kena bawang puteh hilanglah khasiatnya. Maka jadi batu biasa, untuk memulihnya maka basuhlah dengan air cuka. Jika sekiranya di ditanggong oleh orang sakit nescaya sembuh dari sakitnya. Terutana sekali orang sakit sendi tulang serta bertambah akal, bagitu juga jika ditanggong oleh perempuan yang hendak bersalin nescaya mudah bersalin.semua itu dengan izin Allah swt.

6 Batu Ayam

Batu ini terdapat dalam perut ayam, ia berkhasiat bagi orang gila babi jika ditanggongnya. Bagitu juga orang yang lemah syahwat akan jadi kuat dan lagi tidak mudah kena sihir.untuk kanak-kanak yang terkejut juga inssallah jadi sihat.


7 Batu ular
Batu ini juga terdapat di kepala ular sekadar sebesar buah berangan yang kecil, bukan semua ular terdapat batu, ia sebagai penawar dipatut ular dengan cara menanggongnya atau di letak pada tepat kena patut tadi,ia juga dapat menahan darah keluar dan ubat sakit batu karam jika direndam batu itu kedalam air dan minumnya.,ia juga penguatkan ingatan dan penawar sakit gila babi. inssallah.

8 Batu lazurat

Iaitu sejenis batu berwarna biru, berkhasiat untuk mencerahkan mata apabila mencelakkannya, jika menanggongnya manusia akan melihat dirinya besar. Dan ia juga dapat menggugurkan daging yang tumbuh pada badan seperti tahi lalat dan buat ara jika menanggongnya atau diasah dilumur pada tempatnya. Dan menjadi ubat bagi orang sakit gila babi. bagitulah besarnya khasiatnya.


9 Batu Bahru
Sejenis batu laut sifatnya hitam lagi ringan dan kesat, ianya berkhasiat untuk orang belayar mudah-mudahan selamat dari tenggelam. Bagitu juga jika diletak diatas periuk nasi tidak masak atau air tidak menggelegak.

10 Batu Al Khataf (Batu Burung Lelayang)
Sejenis batu yang terdapat dalam sarang burung lelayang dikenali batu burung lelayang.batu ini ada yang merah berkhasiat kuat hati tidak geligesah dan satu lagi batu puteh untuk baik pulih orang yang gila babi wal allahu wa’lam.

Sunday, November 1, 2009

Bernazar Dengan Perkara Wajib, Haram, Mubah Dan Makruh

Nazar merupakan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Melalui nazar seseorang itu mewajibkan ke atas dirinya sesuatu amalan kebajikan dengan
kerelaan hati serta niat yang tulus ikhlas lagi bersih semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Pada dasarnya, perkara yang dinazarkan ialah perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘ seperti berpuasa sunat, bersedekah, menunaikan umrah dan sebagainya.

Nazar yang seumpama ini wajib ditunaikan. Jika ditunaikan, maka orang yang bernazar itu akan mendapat ganjaran pahala. Manakala jika dia tidak menunaikannya, maka wajib ke atasnya melakukan kaffarah.

Tetapi timbul persoalan, bagaimana jika perkara yang dinazarkan bukan terdiri daripada perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘? Contohnya bernazar dengan perkara yang sememangnya diwajibkan oleh syara‘ seperti sembahyang lima waktu, bernazar dengan perkara yang dimakruhkan seperti berpuasa sepanjang tahun atau bernazar dengan perkara mubah (harus) seperti makan dan minum? Maka penjelasan mengenainya akan dikupas oleh ruangan Irsyad Hukum kali ini.

Perkara Yang Dinazarkan Adalah Rukun Nazar
Selain daripada An-nadzir iaitu orang yang bernazar dan ashshighah iaitu lafaz (nazar), al-mandzur iaitu perkara yang dinazarkan juga merupakan antara rukun nazar.

Al-Mandzur iaitu perkara yang dinazarkan terbahagi kepada empat:
i. Perkara yang berupa ketaatan.
ii. Perkara yang berupa dosa atau maksiat.
iii. Perkara yang mubah iaitu perkara yang diharuskan.
iv. Perkara yang makruh.

Perkara yang berupa ketaatan

Bernazar pada perkara yang berupa ketaatan terbahagi kepada dua:

a. Perkara yang wajib dikerjakan menurut syara‘, umpamanya sembahyang lima waktu, puasa Ramadhan, mengeluarkan zakat dan sebagainya. Seseorang yang bernazar pada perkara-perkara tersebut dihukumkan tidak sah nazarnya itu, kerana perkara tersebut sememangnya sudah diwajibkan oleh syara‘ ke atas dirinya.

Begitu juga tidak sah bernazar pada meninggalkan perkara perkara yang diharamkan oleh syara‘, seperti bernazar meninggalkan meminum khamr (arak) atau bernazar untuk tidak mencuri, dan tidak dikenakan kaffarah jika dia tidak menunaikan nazar tersebut.


b. Perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘ melakukannya, seperti berpuasa sunat, sembahyang sunat, bersedekah, beri‘tikaf, menziarahi orang sakit, member salam sesama muslim, mendoakan orang bersin dan sebagainya. Bernazar pada perkara-perkara sedemikian dihukumkan sah dan wajib ditunaikan.

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka taatlah kepadaNya (tunaikanlah nazar itu), dan barangsiapa bernazar untuk melakukan maksiat kepadaNya, maka janganlah dia melakukan maksiat itu (janganlah dia
menunaikan nazarnya itu).”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Perkara yang berupa dosa atau maksiat

Tidak sah bernazar pada perkara yang berupa maksiat atau dosa, seperti bernazar meminum khamr (arak), melakukan zina, membunuh dan apa-apa jua perkara yang dihukumkan haram, malah haram hukumnya jika dilaksanakannya. Dia juga tidak dikenakan kaffarah jika dia tidak menunaikannya.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Imran bin Hushain Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tidak boleh melaksanakan nazar dalam perkara maksiat, dan tidak juga dalam perkara yang tidak dimiliki oleh seorang hamba).” Dan menurut riwayat Ibnu Hujr: “Tidak boleh bernazar dalam perkara maksiat kepada Allah.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain dari itu, bernazar pada perkara maksiat akan menyebabkan berlakunya pelanggaran kepada perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sedangkan maksud atau tujuan nazar adalah untuk
menghampirkan diri kepadaNya bukan untuk menjauhiNya dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Perkara yang diharuskan (mubah).

Mubah ialah perkara yang diharuskan dan jika ditinggalkan tidak berdosa, seperti makan, minum, duduk, berdiri, tidur dan sebagainya. Bernazar pada perkara-perkara mubah sama ada bernazar untuk melakukannya atau tidak melakukannya, hukumnya tidak sah dan tidak dikenakan kaffarah jika mengingkarinya, kerana melakukan atau meninggalkan perkara mubah tidak dikatakan sebagai taqarrub.

Perkara ini disebutkan di dalam hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tidak sah nazar kecuali bernazar pada perkara yang dapat memperolehi keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Perkara yang makruh

Tidak sah hukumnya bernazar pada perkara-perkara yang makruh. Umpamanya bernazar untuk berpuasa sepanjang tahun bagi orang yang dikhuatiri akan mendatangkan kemudaratan ke atas dirinya atau boleh menghilangkan hak orang lain seperti hak isterinya yang tertanggung ke atas dirinya.

Kaffarah Nazar

Kaffarah adalah denda yang wajib dibayar kerana melanggar suatu ketentuan syara’ (yang mengakibatkan dosa), dengan tujuan untuk menghapus atau menutup dosa tersebut sehingga tidak ada lagi pengaruhnya atau kesan dosa itu baik di dunia mahupun di akhirat.

Adapun tujuan kaffarah diwajibkan ke atas seseorang yang melakukan dosa tertentu adalah sebagai hukuman atau denda kepadanya kerana melanggar ketetapan syara’ dan menjadi peringatan untuk tidak akan mengulang kesalahan yang sama pada masa akan datang, namun tidak semua dosa dapat dihapuskan dengan kaffarah.

Hukum kaffarah adalah wajib kepada orang yang melakukan kesalahan tertentu sahaja, antaranya tidak melaksanakan nazar.

Kaffarah nazar itu sama dengan kaffarah sumpah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah bin ‘Amir Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Kaffarah (denda) nazar sama dengan kaffarah (denda) sumpah.” (Hadis riwayat Muslim)

Kaffarah sumpah dan nazar ialah:

(1) Memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan dari jenis sederhana yang biasa diberikan oleh orang yang membayar kaffarah itu (jenis makanan) kepada keluarganya.

(2) Atau memberi pakaian sepuluh orang miskin dengan sesuatu yang dinamakan pakaian, seperti baju, kain sarung, serban dan sebagainya.

(3) Atau memerdekakan hamba.

Orang yang dikenakan kaffarah, boleh memilih salah satu di antara tiga perkara yang tersebut.

(4) Jika dia tidak berkemampuan untuk melakukan salah satu dari tiga jenis perkara yang tersebut, maka wajiblah dia berpuasa selama tiga hari.

Yang dimaksudkan dengan tidak berkemampuan itu ialah tidak berdaya untuk mengadakan harta bagi membayar kaffarah tersebut, seperti orang yang mempunyai harta, tetapi hanya mencukupi untuk orang yang di bawah tanggungannya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguhsungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah (peliharalah) sumpah kamu.” (Surah Al-Ma’idah: 89)

Maka jelasnya, tidak boleh dan tidak sah bernazar dengan perkara perkara yang wajib, haram, mubah dan makruh. Perkara yang dinazarkan hanya dibolehkan dan sah pada perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘. Manakala jika orang yang bernazar tidak menunaikan nazarnya, maka wajib ke atasnya melakukan kaffarah.
Sumber rujukan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam.