Wednesday, October 28, 2009

Bagaimanakah Lafaz Nazar Yang Sah?

Syarak : Janji untuk kebaikan khasnya
Istilah ulama’ feqah : Beriltizam untuk mendekatkan diri dengan kewajipan yang tidak disyarakkan secara mutlak atau pun terikat dengan sesuatu.

Dalil syarak
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Insan yang bermaksud :

"Mereka menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang mana azabnya merata di mana-mana."

Hadis riwayat imam Bukhari daripada Sayyidatina ‘Aishah daripada nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang bernazar untuk taat kepada Allah maka taatilah akanNya dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat kepadaNya maka janganlah membuat maksiat kepadaNya.


Hukum nazar
Nazar disyariatkan oleh Islam dan diharuskan untuk menghampirkan diri kepada Allah. Oleh sebab ia itu para ulama’ feqah berpendapat tidak sah nazar orang kafir.

Kekeliruan dan salah faham terhadap sesuatu perkara boleh saja menyebabkan seseorang itu melakukan perkara yang dianggapnya sah atau betul, padahal dari segi syara’ ia adalah sebaliknya.

Contohnya kekeliruan tentang lafaz nazar.

Ada yang menganggap apabila hendak atau berazam untuk melakukan sesuatu juga dianggap sebagai nazar.

Ada juga yang keliru tentang adakah sudah menjadi wajib atau tidak, jika seseorang bernazar nazar dengan menyebut lafaz nazarnya perkataan ‘insya Allah’.

Pengetahuan tentang lafaz nazar yang sah di sisi syara‘ perlu diketahui dan difahami dengan sejelas-jelasnya.

Jangan seseorang itu menganggap nazar yang dilafazkannya itu sebagai nazar, sedangkan ia bukan dianggap nazar dari segi syara‘. Begitu juga dia menganggap yang dilafazkannya itu bukan nazar, sedangkan ia sebenarnya adalah nazar.

Lafaz Nazar

Salah satu daripada rukun nazar itu ialah sighah yang bermaksud lafaz. Untuk melaksanakan perkara yang dinazarkan, seseorang itu perlu bernazar dengan cara dan lafaz yang sah di sisi syara‘. Setiap nazar yang dilakukan tidak sah melainkan jika dilafazkan dengan perkataan, seperti katanya: “Kerana Allah wajib ke atasku berpuasa tiga hari jika aku sembuh dari penyakit ini.” Jika dia berlafaz: “Wajib ke atas diriku puasa tiga hari” tanpa berlafaz ‘kerana Allah’ azarnya tetap sah dan wajib ke atasnya menunaikannya, kerana nazar itu adalah taqarrub, iaitu amal yang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dan taqarrub itu tidak lain hanyalah semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Lafaz nazar itu tidak terbatas kepada contoh yang tersebut di atas, malahan nazar itu tetap sah jika dilafazkan dengan perkataan yang membawa maksud kepada mewajibkan sesuatu perkara kebaikan seperti:

“Jikaaku lulus dalam peperiksaan, aku akan bersedekah sebanyak seribu ringgit” atau “Aku bernazar menunaikan haji ke Makkah jika mendapat seorang cahaya mata” dan sebagainya.

Oleh yang demikian, tidak sah nazar dengan hanya sematamata berniat di dalam hati tanpa adanya lafaz. Umpamanya, seorang bernazar dengan hanya berniat di dalam hati: “Kerana Allah wajib ke atasku bersedekah seratus ringgit jika aku lulus dalam peperiksaan ini”, tidak sah nazarnya itu melainkan dengan dilafazkannya. Sebaliknya sah nazar itu dengan dilafazkan sahaja walaupun tanpa niat di dalam hati.

Begitu juga tidak sah nazar jika hanya setakat berazam untuk melakukan sesuatu kebajikan, umpamanya berazam menunaikan umrah jika mendapat rezeki yang lebih. Azam seperti itu tidak dikatakan sebagai nazar.

Oleh yang demikian, tidak memadai nazar itu dengan hanya berniat atau berazam di dalam hati, bahkan hendaklah ia dilafazkan dengan perkataan. Selama mana tidak dilafazkan, maka nazar itu tidak sah dan tidak wajib ditunaikan.

Adapun bagi orang yang tidak boleh bercakap iaitu orang bisu bolehlah menggunakan isyarat sahaja ataupun secara bertulis, akan tetapi hendaklah disertai dengan niat. Berikut diterangkan beberapa permasalahan mengenai nazar:

- Jika seseorang itu melafazkan nazarnya, kemudian dalam lafaznya itu disertakan dengan perkataan ‘insya Allah’, contohnya: “Jikalau aku sembuh dari penyakitku ini aku bernazar bersedekah sebanyak seribu ringgit insya Allah”?, maka tidak wajib ke atasnya menunaikan nazar itu.

- Jika seseorang itu bernazar untuk mengerjakan puasa dengan tidak menentukan bilangan harinya, contohnya: “Hak bagi Allah, wajib ke atas diriku berpuasa”, maka wajib ke atas dirinya berpuasa selama satu hari sahaja.

Manakala jika seseorang itu bernazar untuk mengerjakan puasa selama beberapa hari tetapi tidak menentukan bilangan beberapa hari itu, seperti dia bernazar: “Hak bagi Allah, wajib ke atas diriku berpuasa selama beberapa hari”, maka wajib ke atas dirinya berpuasa selama tiga hari.

- Jika seseorang itu bernazar untuk berpuasa pada hari tertentu seperti bernazar untuk berpuasa pada hari Khamis minggu pertama bulan ini, maka wajib ke atasnya berpuasa pada hari tersebut. Tidak sah baginya berpuasa pada hari sebelumnya. Jika dia melambat-lambatkannya sehingga luput hari Khamis minggu pertama tersebut, maka wajiblah diqadhanya, tidak kira sama ada luput disebabkan oleh uzur syar‘ie atau tidak. Jika dia melambat-lambatkan dengan tiada sebab keuzuran syar‘ie, maka berdosalah dia. Sebaliknya jika dia melambatkannya kerana ada keuzuran syar‘ie seperti sakit, datang haidh dan sebagainya, maka tiadalah dia berdosa.

- Jika seseorang itu bernazar untuk menunaikan haji ke Makkah, maka sah hukum nazarnya itu. Akan tetapi bagi orang yang bernazar menunaikan haji sedang dia pada masa itu belum lagi menunaikan fardhu haji yang wajib ke atas dirinya sebagai seorang muslim, maka tertanggung ke atas dirinya dua ibadat haji, iaitu haji fardhu dan haji kerana nazar. Tidaklah memadai baginya jika dia menunaikan haji sekali sahaja. Barangsiapa yang bernazar menunaikan haji ke Makkah dengan tidak menentukan bila masanya, maka sunat disegerakan nazar tersebut pada mula-mula saat dia berkemampuan. Jika dia meninggal dunia sebelum ada kemampuan untuk pergi menunaikan haji, tidaklah tertanggung apa-apa ke atas dirinya. Sebaliknya jika dia meninggal dunia setelah ada kemampuan dan belum sempat melaksanakan nazarnya, maka wajib diqadhakan baginya dengan perbelanjaan yang diambil dari harta pusakanya.
Kesimpulannya, nazar tidak sah hanya niat semata-mata, tetapi hendaklah dilafazkan sama ada dengan niat atau tidak. Berazam untuk melakukan sesuatu kebajikan juga bukan dianggap nazar. Oleh yang demikian, hendaklah difahami tentang nazar dengan terang dan jelas agar kita tidak keliru tentang lafaz yang membawa maksud nazar atau tidak.

Sumber rujukan Kerajaan Mufti Brunei Darussalam